Kilang gagal patuh garis panduan KKM akan ditutup, kata Noor Hisham

Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Pemilik kilang yang gagal mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkait wabak Covid-19 mungkin berdepan dengan arahan penutupan premis.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah membuat amaran itu sambil memaklumkan bahawa KKM akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan garis panduan tersebut.

“Kita ada prosedur operasi standard (SOP), jika gagal patuhi KKM akan ambil tindakan untuk menutup kilang berkenaan bagi memberi masa untuk mereka mematuhinya,” katanya pada sidang media harian beliau di sini ketika diminta mengulas insiden pengabaian penjarakan sosial oleh pekerja sebuah kilang di Kulai, Johor seperti dilaporkan baru-baru ini.

Terdahulu beberapa keping gambar tular di media sosial menunjukkan pekerja kilang terbabit beratur tanpa jarak selamat 1 meter untuk memasuki premis tersebut.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, walaupun PKP kini dilonggarkan sedikit, namun kawalan di sempadan negara tetap diperketat.

Katanya, sehingga kini, 251 kes import Covid-19 direkodkan membabitkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

“Kawalan pergerakan akan ada kelonggaran, kita sedang bincang SOP tertentu yang semua sektor kena patuhi dan ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Berbanding dengan negara lain, apabila mereka tamatkan PKP, ia termasuk kawalan sempadan (ditamatkan). Kita tidak tamatkan PKP lagi, malah kawalan sempadan kita perketatkan,” katanya ketika diminta mengulas cadangan beberapa syarikat penerbangan untuk memulakan semula operasi masing-masing.