KWSP kurang yuran pendahuluan skim pelaburan ahli

KWSP berkata, ia juga akan mengurangkan yuran perkhidmatan yang dikenakan ke atas FMI sebanyak 50% bagi membantu memastikan industri pengurusan dana dapat bernafas.

KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak melabur di bawah Skim Pelaburan Anggota KWSP (EPF MIS) boleh mendapat pengurangan yuran pendahuluan yang dikenakan oleh institusi pengurusan dana (FMI) mulai 1 Mei 2020.

Pengurangan membabitkan tempoh 12 bulan dan berakhir pada 30 April 2021 ini akan membenarkan ahli mempelbagaikan portfolio persaraan mereka pada kos lebih rendah.

Untuk pelaburan yang dibuat melalui ejen, yuran pendahuluan akan dikurangkan daripada jumlah maksimum sebanyak 3.0% kepada 1.5%, manakala tiada yuran pendahuluan akan dikenakan ke atas pelaburan i-Invest melalui i-akaun KWSP.

CEO KWSP Tunku Alizakri Alias

Ketua pegawai eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, ahli yang layak dan celik kewangan mungkin mahu mengambil kesempatan daripada struktur yuran yang lebih rendah ini bagi mengoptimumkan pulangan dan mempelbagaikan portfolio berdasarkan pelan persaraan mereka.

“Ia juga amat bertepatan pada masa memandangkan aliran menurun pasaran semasa menawarkan peluang untuk melabur dalam dana di bawah nilai.

“Bagaimanapun kami menggesa ahli melakukan penyelidikan dan analisis yang betul, menggunakan pelbagai alat yang tersedia dalam platform i-Invest. Sebagai contoh, untuk memastikan sesuatu dana memenuhi strategi pelaburan jangka panjang dan sesuai dengan profil risiko mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menambah KWSP akan mengurangkan yuran perkhidmatan yang dikenakan kepada FMI oleh KWSP sebanyak 50% bagi tempoh yang sama untuk membantu memastikan industri pengurusan dana dapat bernafas lega semasa fasa yang mencabar ini.

“Yuran perkhidmatan akan dikurangkan kepada 0.0625% daripada 0.125% adalah berdasarkan kepada aset di bawah pengurusan (AUM) yang diuruskan oleh FMI dan ia tidak dicaj kepada dana atau ahli.

“Untuk ahli berumur 55 tahun dan ke atas yang berurus niaga melalui i-Invest, yuran perkhidmatan yang dikenakan kepada FMI oleh KWSP kini dikurangkan kepada 0.125% daripada 0.250% bagi setiap jumlah pengeluaran,” katanya.

KWSP juga mengingatkan ahli bahawa pengurangan yuran ini hanya dikenakan ke atas pelaburan yang dibuat di bawah EPF MIS dan tidak tertakluk kepada transaksi atau perkhidmatan KWSP yang lain, seperti yang dinyatakan oleh pihak tertentu.