Negeri Sembilan jadual sidang DUN sehari dengan siaran langsung

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata, sidang DUN pada 4 Mei akan ditayangkan sepenuhnya secara langsung di platform yang akan diumumkan kelak.

SEREMBAN: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dijadual pada 4 Mei ini akan berlangsung dengan kehadiran yang dihadkan, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas, beliau berkata persidangan sehari itu akan ditayangkan sepenuhnya secara langsung di platform yang akan diumumkan kelak.

Beliau berkata jawatankuasa itu hari ini juga bersetuju membenarkan Ahad sebagai tambahan hari kepada kedai-kedai yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), menjadikan semuanya 3 hari berbanding 2 hari sebelum ini.

“Ia seperti kedai makanan haiwan kesayangan, ubatan, perkakasan, bengkel kereta yang ditambah sehari lagi serta 4 lagi iaitu kedai elektrik dan elektronik, kedai telekomunikasi, kedai alat ganti kenderaan dan motosikal.

“Bagaimanapun, kedai aksesori kenderaan tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.