Penerbit majalah Jelita, CLEO henti operasi

BluInc, penerbit majalah gaya hidup seperti CLEO, Jelita, Her World, Cosmopolitan, Glam dan Marie Claire berkata, pandemik Covid-19 menambah cabaran kewangan yang dihadapi syarikat itu.

PETALING JAYA: Blu Inc Media Sdn Bhd (BluInc), antara syarikat penerbitan majalah terkemuka di negara ini, akan menghentikan operasinya hari ini.

Syarikat berkenaan menerbitkan majalah gaya hidup tempatan dan antarabangsa seperti CLEO, Her World, Harper’s Bazaar, Cosmopolitan, Marie Claire, Jelita, Glam dan The Peak dilaporkan mengeluarkan surat pekeliling kepada kakitangannya hari ini yang disahkan oleh sumber yang mengetahui mengenai perkara itu.

Dalam surat pekeliling itu, pengurusan BluInc berkata, pandemik Covid-19 telah menambah cabaran yang dihadapi syarikat itu, selain gugatan digital sedia ada.

“Walaupun kami telah meningkatkan pelaburan untuk membangunkan kemampuan digital, masih belum jelas adakah kami telah meraih tarikan yang cukup sementara kerugian terus meningkat.”

Ia berkata lembaga pengarah mengambil keputusan untuk menghentikan operasi, termasuk semua penerbitan cetak dan digital kerana trend kerugian dijangka terus berlanjutan selama beberapa bulan lagi.

Tidak diketahui berapakah jumlah kakitangan yang terjejas.

Margaret Sebastian, yang berkhidmat sebagai editor pengurusan di BluInc berkata, beliau sedih mendengar berita itu.

“Her World, majalah wanita berbahasa Inggeris tertua, dilancarkan pada Julai 1960 dan akan menyambut ulang tahunnya ke-60 tahun ini.

“Ini adalah pengakhiran majalah yang menjadi pendamping kepada ramai wanita Malaysia selama beberapa dekad,” katanya.

BluInc bermula pada 1974 dengan Kumpulan Jack Chia-MPH di Singapura. Banyak perubahan pemilikan yang berlaku menyaksikan ia berkembang menjadi BluInc di bawah Majalah SPH.

Sementara itu, Advertising + Marketing Malaysia melaporkan bahawa agensi pengiklanan BBDO Malaysia juga menutup pejabatnya di negara ini.

Ketua pengarah eksekutif BBDO Asia Jean-Paul Burge dilaporkan berkata syarikat itu ketika ini akan menumpukan sumber mereka di China.