Penganalisis gesa pulih hubungan dengan India, atasi kejatuhan harga minyak sawit

Permintaan minyak sawit dari India mungkin kekal rendah walaupun selepas Covid-19.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis minyak sawit mendesak Putrajaya supaya berusaha memperbaiki hubungan diplomatik dengan New Delhi dan membuat kesepakatan untuk membatalkan sekatan India terhadap import minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD).

Sathia Varqa yang berpangkalan di Singapura berkata ia akan menjadi “strategi terbaik” untuk membantu meningkatkan permintaan minyak sawit yang terjejas teruk berikutan Covid-19 dan sekatan pergerakan di negara-negara di seluruh dunia.

Ini, katanya, semakin rumit berikutan kejatuhan harga minyak mentah yang menjadikan biodiesel tidak berdaya maju secara kewangan.

“Diesel kini didagangkan pada AS$191.50 setiap tan sementara minyak sawit mentah didagangkan pada AS$465 setiap tan. Ini lebih sekali kali ganda daripada harga diesel.

“Perbezaan ini hampir AS$300, perbezaan yang besar dan tidak masuk akal untuk mencampurkan biodiesel.”

Berikutan penularan Covid-19, penggunaan campuran biodiesel yang lebih tinggi dilihat sebagai salah satu cara untuk menampung permintaan minyak sawit.

Pada 2018, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa industri minyak sawit tempatan menyertai negara yang sudah menggunakan biodiesel B20, yang merupakan campuran 20% minyak sawit dan 80% diesel.

“Prospek untuk minyak sawit baik baru-baru ini pada Januari, dengan Malaysia dijangka akan melancarkan biodiesel B20 secara berparingkat dan Indonesia menggunakan biodiesel B30, namun kemudian Covid-19 berlaku dan semuanya berubah dan eksport jatuh,” kata Sathia kepada FMT.

Beliau berkata bulan puasa dan Hari Raya yang akan datang akan memberikan penangguhan.

Eksport dijangka meningkat sedikit, antara 2% dan 4% dari Mac, disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi di Bangladesh, Pakistan dan Timur Tengah.

“Masalah akan bermula sebaik permintaan ini lenyap,” katanya.

Beliau menjangkakan Kesatuan Eropah (EU) dan China sebagai pasaran aktif utama untuk baki 2020, walaupun ia cenderung menurun.

“Dalam kes EU, permintaan mereka untuk minyak sawit lebih kepada biodiesel dalam sektor pengangkutan tetapi ini mungkin akan terus dipengaruhi oleh Covid-19.”

Di China, katanya, permintaan akan terjejas berikutan harga rendah minyak masak lain, terutama soya.

Permintaan dari India, yang pernah menjadi antara pasaran minyak sawit terbesar Malaysia pada masa lalu mungkin kekal rendah walaupun selepas Covid-19.

Tahun lalu, terdapat laporan bahawa India menyekat import dari Malaysia selepas Mahathir mengkritik dasar New Delhi termasuk mengenai isu Kashmir dan kontroversi undang-undang kewarganegaraan India.

“Penting untuk mengetahui bahawa India masih mengimport minyak sawit mentah dari Malaysia, tetapi ia mengenakan tarif yang sangat tinggi ke atas RBD dan mengehadkan importnya untuk melindungi pengusaha kilang penapis India.

“Salah satu langkah terbaik yang boleh dilakukan kerajaan untuk industri kelapa sawit adalah memperbaiki hubungan dengan India, ia strategi terbaik, dan berusaha mencapai kesepakatan untuk mengatasi sekatan import RBD.

“Sekiranya ini dapat dilakukan, saya rasa ia bagus untuk industri minyak sawit Malaysia. Bagaimanapun, ini akan menjadi tahun yang mencabar.”