Penggodam sasar makmal simpan virus di Wuhan yang dikaitkan teori konspirasi Covid-19

Gambar yang pernah didedahkan dari dalam Institut Virologi rahsia di Wuhan. (Gambar Twitter)

Makmal penyelidikan China yang menjadi pusat teori konspirasi mengenai asal usul wabak Covid-19 menjadi sasaran penggodam.

Menurut pengawal keselamatan, Institut Virologi Wuhan menjadi antara sasaran, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana alamat emel dan maklumat “login” kakitangan mereka bocor dan tersebar dalam talian.

Ia didedahkan dalam satu laporan yang dikeluarkan SITE Intelligence Group, yang memantau ekstremisme berhaluan kanan.

Maklumat itu dikongsi di saluran Telegram, akaun Twitter dan pada papan mesej, terutama yang digunakan oleh ekstremis kanan.

Paparan skrin percubaan untuk log masuk ke akaun emel menggunakan maklumat yang dibocorkan juga disiarkan di laman-laman perbincangan.

Institut Wuhan, yang bersekutu dengan Akademi Sains China, mengendalikan satu-satunya makmal biosafety tahap 4 di negara itu, iaitu tahap tertinggi yang menjalankan penyelidikan mengenai patogen-patogen paling berbahaya.

Ia terletak di tengah bandar Wuhan, lokasi di mana kes koronavirus pertama kali dilaporkan akhir tahun lalu dan menjadi subjek spekulasi berterusan bahawa strain virus baru secara tidak sengaja bocor dari makmal itu, tetapi dinafikan oleh institut tersebut.

WHO pada Khamis mengesahkan kira-kira 450 alamat emel dan kata laluan staf WHO yang aktif dibocorkan, tetapi ia tidak membahayakan sistem badan kesihatan global itu kerana data tersebut bukan yang terkini.

Bagaimanapun, WHO menyatakan bahawa serangan siber itu memberi kesan pada sistem extranet yang lebih lama yang digunakan oleh kakitangan semasa dan yang sudah bersara serta rakan kongsi sambil memaklumkan serangan seperti itu mencatat peningkatan.

”Jumlah serangan siber sekarang lebih daripada 5 kali ganda dari jumlah yang ditujukan kepada organisasi dalam tempoh yang sama tahun lalu,” kata WHO.

Institut Virologi Wuhan menjadi teori konspirasi berhubung punca virus Covid-19.

Mangsa kebocoran bukti e-mel itu termasuklah Yayasan Bill dan Melinda Gates, Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit AS, Bank Dunia dan Institut Kesihatan Nasional, menurut laporan SITE.

Tidak jelas siapa yang melakukan serangan siber itu, tetapi SITE mencadangkan ia dibuat bertujuan mengganggu kakitangan organisasi dan mendapatkan maklumat sensitif Covid-19 kerana mereka semua menjadi sebahagian daripada teori konspirasi mengenai wabak tersebut.

“Satu-satunya perkara penting (komuniti haluan kanan) data yang tersedia bagi digunakan untuk tujuan mereka sendiri dalam hal ini, antara lain, penyebaran teori konspirasi mengenai asal-usul koronavirus dari ‘buatan makmal’,” kata Pengarah Eksekutif SITE, Rita Katz.

Dalam perkembangan lain, penggodam yang mendapat sokongan Hanoi pula cuba menggodam akaun emel kakitangan kerajaan Wuhan serta Kementerian Pengurusan Kecemasan China.

Ia didedahkan firma keselamatan siber AS FireEye di saat ketegangan antara Beijing dan Hanoi mengenai Laut China Selatan semakin meningkat.

Laporan terbaru serangan siber ini muncul setelah sebuah firma keselamatan yang berpusat di Beijing awal bulan ini menyatakan agensi dan misi diplomatik China menjadi sasaran penggodam melalui pelayan rangkaian peribadi maya mereka melalui kempen yang diselaraskan.

Sementara itu, Biro Penyiasatan Persekutuan AS minggu lalu juga berkata melihat bukti penggodam yang ditaja oleh negara asing dengan mensasarkan institusi penyelidikan Covid-19 AS, mungkin untuk tugasan mereka mengenai rawatan atau vaksin berpotensi, tetapi FBI tidak menamakan mana-mana negara atau mengenal pasti organisasi yang disasarkan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]