Perak bebas kes aktif Covid-19

Perak mencatatkan 253 kes positif Covid-19 dan 6 kematian.

IPOH: Perak kini merupakan negeri bebas kes aktif Covid-19 selepas 2 pesakit terakhir yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sembuh dan dibenarkan keluar semalam.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata ini menjadikan semua 247 pesakit positif Covid-19 yang direkodkan di negeri ini pulih daripada wabak berkenaan.

“Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Ding Lay Ming, hari ini. Maka, hospital-hospital seluruh negeri Perak adalah sifar pesakit Covid-19, Alhamdulillah ” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal hadir pada majlis penyampaian sumbangan barangan keperluan untuk petugas barisan hadapan antaranya peralatan perlindungan diri (PPE) daripada syarikat My Vista dan Syarikat Kangsor Hydro yang diserahkan kepada Ding.

Ahmad Faizal turut menerima sumbangan berjumlah lebih RM600,000 daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Syarikat Renesas International bersama-sama Syarikat Carsem (M) Sdn Bhd, Syarikat Kuala Lumpur Kepong Bhd dan Syarikat Kangsor Hydro untuk Tabung Bencana Covid-19 Negeri Perak selain sumbangan pek makanan kering bersempena Ramadan oleh Syarikat Headlines International Sdn Bhd.

Menteri besar berkata bagaimanapun, perkara itu tidak bermakna rakyat Perak boleh terus berasa selesa dengan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun perlu membiasakan diri dengan kebiasaan baru untuk tidak bersalaman, mengamalkan jarak sosial dan menjaga kebersihan diri.

“Saya menyarankan pada semua rakyat jangan fikir PKP telahpun tamat, PKP masih ada …tetap amalkan jarak sosial. Saya fikir itu satu budaya baru yang kita perlu amalkan selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Ding berkata sehingga 12 tengah hari semalam, sebanyak 253 kes positif Covid-19 dan 6 kematian direkodkan di Perak.

“Bagaimanapun, semua 247 kes positif Covid-19 (253 kes positif tolak 6 kematian) telah pulih dan dibenarkan pulang dengan 2 pesakit terakhir di HRPB dibenarkan pulang petang semalam,” katanya.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui laman sosial media Facebook rasminya semalam melaporkan Perak masih kekal dengan 2 kawasan zon merah iaitu Durian Sebatang di daerah Hilir Perak dan Ipoh di daerah Kinta.