PH gesa sidang penuh Parlimen selepas sektor ekonomi dibenar beroperasi

Terdahulu setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat memaklumkan bahawa Parlimen akan bersidang 1 hari pada 18 Mei depan selari dengan penguatkuasaan PKP bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapam (PH) hari ini berkata, Parlimen wajib bersidang penuh berikutan keputusan kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi penuh bermula 29 April.

Dalam satu kenyataan, PH berkata, ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Dewan Rakyat bagi membolehkan sidang Parlimen yang dijadual diadakan pada 18 Mei ini diteruskan seperti biasa, iaitu lebih daripada 1 hari seperti diumumkan sebelum ini.

“Masalah rakyat juga perlu perhatian khusus Parlimen, termasuk isu kebajikan, pekerjaan, malah juga semak dan imbang perjalanan kerajaan bagi menjamin ketelusan pengurusan dan kebertanggungjawaban pihak eksekutif,” katanya.

Kenyataan bersama PH itu ditandatangani Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dan Lim Guan Eng mewakili DAP.

Dalam pada itu, majlis itu turut menggesa beberapa pindaan ke atas peraturan mesyuarat dibuat bagi membolehkan Parlimen terus bersidang, termasuk secara dalam talian dan dengan jumlah ahli Parlimen yang kurang tanpa menjejaskan korum atau peratusan undian parti masing-masing.

“Dalam keadaan lengkuk wabak Covid-19 mulai landai dan semakin ramai yang dijangkiti beransur pulih, kebenaran ini adalah satu langkah yang dialu-alukan, namun perlu dilaksana dengan waspada dan berhati-hati.

“Kesan Covid-19 terhadap ekonomi negara amatlah besar. Begitu banyak syarikat perniagaan kehilangan pendapatan dan ramai yang mungkin kehilangan pekerjaan.

“Majlis Peguam serta persatuan perniagaan juga menggesa beberapa akta dipinda atau undang-undang baru digubal bagi menangani masalah dan memastikan sektor ekonomi dapat berjalan dengan baik,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat memaklumkan bahawa Parlimen akan bersidang 1 hari pada 18 Mei depan selari dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Dalam surat yang dikeluarkan kepada semua ahli Parlimen, Riduan berkata, persidangan akan hanya membincangkan urusan kerajaan dan tidak membenarkan sesi soal-jawab atau usul lain.

Dewan Rakyat dijadual bersidang selama 15 hari dari 18 Mei setelah ditangguhkan pada 9 Mac berikutan pertukaran kerajaan.