Sarawak benar 2 ahli keluarga dalam 1 kenderaan

Sarawak mengikuti langkah Putrajaya membenarkan 2 ahli keluarga dari rumah yang sama bergerak dalam 1 kenderaan semasa PKP fasa 4. (Gambar Bernama)

KUCHING: Kerajaan Sarawak membuat keputusan mengikuti langkah kerajaan pusat yang membenarkan 2 ahli keluarga dari rumah yang sama bergerak dalam 1 kenderaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 4, kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas hari ini.

Dalam satu kenyataan media, Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) berkata keputusan itu akan berkuat kuasa serta-merta selepas mempertimbangkan maklum balas diterima daripada orang awam mengenai peraturan itu yang diumumkan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam.

“Sekarang kami akan membenarkan 2 ahli keluarga terdekat untuk keluar dengan sebuah kereta bagi tujuan membeli makanan, ubat-ubatan, keperluan harian, diet tambahan atau barangan lain daripada mana-mana penyedia perkhidmatan penting atau mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan,” kata beliau.

Menurut beliau, jawatankuasa itu tidak membuat keputusan serta-merta selepas Ismail mengumumkan sedikit kelonggaran dalam prosedur operasi standard PKP fasa 4 semalam kerana mereka masih belum menerima sebarang maklumat daripada kerajaan Persekutuan ketika itu.

“Kami perlu berhati-hati apabila membuat sebarang keputusan penting dalam waktu kritikal ini kerana ia boleh memberikan kesan yang besar kepada negeri.

Lagipun, kami masih lagi memerangi pandemik Covid-19,” katanya.