Siti Nurhaliza antara penyumbang RM9.44 juta kepada KKM

Adham Baba (kiri) menerima sumbangan daripada Siti Nurhaliza (kanan).

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menerima sumbangan bagi memerangi wabak Covid-19 berjumlah RM9.44 juta.

Derma berupa aset dan wang tunai itu disumbangkan oleh 14 syarikat korporat dan organisasi.

Sumbangan tersebut diterima Menteri Kesihatan, Adham Baba di KKM hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri I, Dr Noor Azmi Ghazali.

Antara syarikat yang menyumbang ialah Kumpulan Geely DRB-Hicom berjumlah RM5.5 juta, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM160,000, Yayasan Nurjiwa (YNJ) RM66,000.

Sementara itu, penyanyi nombor 1 tanah air, Siti Nurhaliza Tarudin yang mewakili YNJ ketika ditemui media memaklumkan sumbangan tersebut hasil kutipan menerusi dana prihatin.

Penyanyi yang popular dengan lagu “Purnama Merindu” itu berkata beliau turut menerima sumbangan daripada peminatnya yang ingin turut serta menghargai bakti petugas barisan hadapan.

“Alhamdulillah, ini satu penghargaan yang sangat tinggi daripada saya kepada semua peminat yang sama-sama menderma di tabung yang saya wujudkan,” katanya sambil memaklumkan jumlah kutipan dana sehingga kini bernilai RM170,000.

Siti Nurhaliza berkata, beliau akan meneruskan usaha untuk memberi sumbangan melalui kutipan tabung itu selagi Perintah Kawalan Pergerakan belum ditamatkan.

Katanya, sebelum ini beliau menyasarkan kutipan sebanyak RM300,000 dari tabung tersebut untuk tempoh kutipan selama sebulan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sebelum ini beliau telah menyerahkan sumbangan 500 helai PPE kepada Institut Jantung Negara dan Pusat Darah Negara.