Tarikh baru ditetap untuk perbicaraan rasuah Najib, Rosmah

Najib Razak bersama isteri Rosmah Mansor.

PETALING JAYA: Perbicaraan rasuah Najib Razak yang ditangguhkan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) akan disambung semula 13 Mei ini.

“Kami menerima satu e-mel hari ini dari mahkamah memaklumkan pihak terbabit mengenai tarikh baru itu,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Garib kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya, tarikh baru itu mungkin tertakluk kepada PKP sama ada ia akan berakhir 12 Mei ini.

Perbicaraan Najib sepatutnya disambung semula pada 15 April lalu, sebelum ditunda ke 29 April dan sekali lagi hari ini susulan lanjutan PKP.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah turut menetapkan tarikh perbicaraan dari Jun hingga Oktober.

Bekas perdana menteri itu berdepan 4 pertuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 dakwaan pengubahan wang membabitkan wang sama.

Apabila pendengaran disambung semula, peguam Muhammad Shafee Abdullah dijangka meneruskan pemeriksaan balas ke atas saksi pendakwaan ke-9, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Akram berkata, mahkamah turut memaklumkan pihak terbabit hari ini yang perbicaraan rasuah isteri Najib, Rosmah Mansor, ditetapkan dari 9 hingga 11 Jun dan 6 hingga 23 Julai.

Perbicaraan Rosmah yang sepatutnya disambung semula 15 April lalu, turut terjejas akibat PKP.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Pihak pembelaan dijangka membuat pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-12, bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, Alias Ahmad, apabila perbicaraan disambung semula di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.