Thailand buka semula 6 jenis perniagaan selepas situasi jangkitan Covid-19 lebih baik

Hari ini Thailand melaporkan 7 kes baru Covid-19 dan sifar kematian, menjadikan jumlahnya 2,954 dan jumlah kematian kekal 54 orang. (Gambar Bernama)

BANGKOK: Thailand akan membuka semula 6 jenis perniagaan dan tempat di seluruh negara mulai Ahad (3 Mei) beserta garis panduan bagi mengelak gelombang kedua jangkitan Covid-19 di negara ini setelah keadaan jangkitan terus bertambah baik dengan kes baru melibatkan hanya 1 angka minggu ini.

Enam jenis perniagaan dan tempat itu ialah pasar, tempat makan di luar bangunan pusat membeli-belah, perniagaan borong dan kedai, taman dan kemudahan sukan luar (bukan untuk sukan berpasukan), kedai gunting rambut (dihad untuk khidmat gunting, cuci dan mengeringkan rambut), kedai dandanan dan hotel haiwan peliharaan.

Pusat membeli-belah, panggung wayang dan teater, gim dan spa, tempat sukan luar, termasuk stadium tinju kekal ditutup bagi mengelakkan perhimpunan yang ramai.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, garis panduan untuk membuka semula perniagaan dan tempat akan diselaraskan seluruh negara oleh CCSA dan gabenor wilayah boleh mengenakan tindakan tegas jika perlu, tetapi tidak kurang ketat.

“Pembukaan semula itu akan bermula 3 Mei. Kerajaan akan memerhati dan menilai situasi setiap 14 hari.

“Jika situasi bertambah baik, kita akan libatkan lebih banyak lagi perniagaan dan aktiviti untuk kelonggaran. Bagaimanapun, kerajaan akan bertindak sebaliknya jika jumlah kes baru bertambah,” katanya pada taklimat harian mengenai Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, semua operator perlu mematuhi peraturan dan langkah kesihatan bagi mengurangkan risiko gelombang kedua jangkitan.

Thailand menyambung perintah darurat sehingga 31 Mei.

Langkah yang diambil, termasuk menghentikan kemasukan penumpang penerbangan antarabangsa, perintah berkurung waktu malam dari 10 malam hingga 4.00 pagi, pengharaman jualan alkohol, mengelakkan perjalanan antara wilayah dan perhimpunan besar akan diteruskan di bawah perintah itu.

Hari ini, Thailand melaporkan 7 kes baru Covid-19 dan sifar kematian, menjadikan jumlahnya 2,954 dan jumlah kematian kekal 54 orang.

Ia adalah hari keempat berturut-turut jumlah kes baru dalam kiraan 1 digit.

Daripada 2,954 kes kumulatif, 2,687 dibenarkan pulang dari hospital.