Baju batik Ismail Sabri ketika sidang media harian Covid-19 dapat perhatian

Rekaan batik kontemporari yang dipakai Ismail Sabri menjadi trending. (Gambar Instagram)

Laman sosial Instagram, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob rata-rata memuji penampilan beliau yang tampak segak dan kasual menyarungkan kemeja corak batik moden kontemporari setiap hari ketika mengadakan sidang media harian sepanjang PKP.

Tidak kurang juga ada yang menzahirkan pandangan kemeja konsep sedemikian menyuntik mood ceria, tenang dan santai.

Menurut Ismail Sabri menerusi Instagramnya, kemeja batik menjadi pilihan memandangkan bertugas pada hujung minggu.

“Ramai komen tentang baju saya sejak. Sebenarnya, Sabtu dan Ahad adalah hujung minggu. Jadi saya memilih untuk memakai batik.

“Apa salahnya saya mempromosikan batik Malaysia kan?,” tulis beliau ringkas yang mendapat lebih 8,000 jumlah likes dan 534 komen.

Difahamkan kemeja batik kontemporari berkenaan merupakan koleksi pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie iaitu menantu Ismail Sabri sendiri yang merupakan suami, kepada anak sulungnya iaitu Nina Sabrina.

Malah menerusi Instagram Jovian sendiri ada menyatakan baju batik yang dipakai Ismail Sabri ialah hasil lukisannya sendiri.

Rata-rata netizen meninggalkan komen yang ceria dan boleh dianggap kelakar apabila menyamakan setiap rekaan kemeja batik itu dengan beberapa makanan tempatan.

Malah ada yang mengusik, corak pada baju Ismail Sabri boleh membatalkan puasa kerana terbayang makanan yang seakan sama dengan warna pada baju itu.

Tidak kurang juga berjenaka untuk mendapatkan potongan harga sekiranya pakaian itu dijual di butik Jovian kelak.

Ismail Sabri dilihat menggayakan kemeja batik rona hijau terang bermotifkan corak kombinasi warna gelap dan terang manakala kemeja batik ala teknik ikat dan celup (tie dye) dipakai pada sidang akhbar hari Sabtu baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, beliau juga pernah mengenakan kemeja batik warna merah terang dan gabungan hitam serta putih.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]