‘Individu berkait DAP’ di sebalik mesej anti-Rohingya, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara mempersalahkan “netizen berkait-DAP” atas peningkatan insiden ucapan kebencian dan mesej xenofobia menyasarkan komuniti Rohingya baru-baru ini sewaktu negara berdepan wabak Covid-19.

Bercakap kepada Malaysiakini dan KiniTV, Santhara berkata, analisis beliau ke atas “semua (mesej) media sosial” mendapati ucapan kebencian dan mesej xenofobia itu “ditaja oleh kumpulan bermotif politik”.

“Kenapa saya kata (kumpulan ini) bermotif politik? Anda boleh lihat bahawa mereka yang bercakap tentangnya berasal dari pihak DAP,” kata ahli Parlimen Segambut itu seperti dilaporkan.

“Saya tidak kata bahawa ia (ucapan kebencian dan mesej xenofobia yang menyasarkan etknik Rohingya datang daripada) DAP sebagai sebuah parti, tetapi daripada individu yang berkait dengan kumpulan mereka.”

Edmund merujuk kepada ledakan kenyataan di media sosial menyasarkan pelarian Rohingya susulan penyebaran tuduhan palsu bahawa aktivis komuniti itu menuntut kewarganegaraan Malaysia.

Pemimpin agama dan aktivis hak asasi turut menggesa orang ramai supaya bertenang.

Ini berikutan langkah kontroversi pihak berkuasa tidak membenarkan bot yang membawa beratus-ratus pelarian Rohingya memasuki perairan Malaysia bulan lepas.

Santhara adalah seorang daripada 9 ahli Parlimen PKR yang keluar parti itu pada Februari berikutan pemecatan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan naib presiden Zuraida Kamaruddin.

Beliau merupakan pengerusi Pusat Pengurusan Bencana Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab ke atas komuniti Rohingya di Selayang yang kini dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Dianggarkan 15,000 etnik Rohingya tinggal di kawasan pasar borong Selayang.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UNHCR, berkata, separuh daripada 175,000 pelarian yang berada di Malaysia adalah daripada etnik itu.