PKP bersyarat boleh sebabkan gelombang jangkitan ke-3, kata pakar kesihatan

Pakar kesihatan berkata lebih banyak ujian diperlukan sebelum sekatan PKP diringankan.

PETALING JAYA: Pakar kesihatan menyuarakan kebimbangan terhadap langkah meringankan perintah kawalan pergerakan dengan membenarkan perniagaan dibuka semula bermula minggu depan, memberi amaran ia boleh membawa kepada gelombang baru jangkitan Covid-19.

Azrul Mohd Khalib, pengarah eksekutif di Pusat Galen untuk Kesihatan dan Dasar Sosial berkata, orang ramai dalam membut persediaan boleh terkeliru dengan tatacara operasi standard yang dikeluarkan dalam rangka masa yang pendek, dan mengingatkan juga tentang ketidakpatuhan.

“Ini boleh mengakibatkan Malaysia beralih dari satu PKP kepada PKP lain beberapa bulan kemudian,” katanya kepada FMT.

Mengatakan Putrajaya secara mendadak keluar daripada PKP semasa daripada membentangkan suatau pelan tindakan yang jelas dan padu, beliau berkata lebih baik juga pengumumman dibuat selepas 12 Mei, apabila lanjutan terbaru PKP dijadualkan tamat.

“Ini akan memberikan sekurang-kurangnya 1 minggu untuk buat persiapan.”

Membandingkan pengumuman hari ini dengan pengumuman PKP sebelum 18 Mac, beliau berkata keputusan pertama menyebabkan keadaan kelam-kabut kerana notis pendek dan orang ramai tidak faham.

Perkara itu berlaku “juga dalam kalangan pihak berkuasa yang menguatkuasakan PKP,” tambahnya.

Mengenai langkah terbaru, katanya, SOP harus boleh didapati dengan mudah di satu laman sesawang untuk rujukan dan kegunaan orang ramai.

“Kekurangan dari segi persediaan akan menyebabkan pelaksanaan SOP kurang berjaya, meningkatkan risiko, kekecewaan, konflik, ketegangan dalam masyarakat, dan paling penting, peningkatan jangkitan dan penularan penyakit.”

Dr Ng Kim Fong, presiden Persatuan Doktor-doktor Johor yang mengutip dana untuk pengeluaran kelengkapan pelindung diri (PPE) untuk petugas barisan depan, juga bimbang dengan potensi gelombang ke-3 kes Covid-19.

Beliau berkata meringankan sekatan PKP akan menyebabkan peningkatan kes.

“Masalahnya, kita perlu buat lebih banyak ujian,” tambahnya.

Ng, seorang ahli kardiologi di sebuah hospital di Johor, antara negeri yang teruk terkesan dengan pandemik virus itu, berkata PKP harus diteruskan sehingga 12 Mei mengikut jadualnya.

“Kebanyakan pekerja penjagaan kesihatan bimbang,” katanya. “Bagaimanapun, ini akan jadi normal baru.”

“Orang ramai mesti terus mengamalkan penjarakkan sosial, pakai topeng, dan basuh tangan dengan kerap.”