PKP bersyarat diisytihar untuk ringankan sekatan mulai 4 Mei

PUTRAJAYA: Putrajaya hari ini mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan bersyarat untuk meringankan sekatan bermula 4 Mei, ketika tekanan ke atas ekonomi semakin dirasai selepas PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja berkata hampir semua sektor ekonomi, kegiatan perniagaan dan sosial akan dibenarkan dengan tertakluk kepada syarat-syarat dan tatacara operasi standard bermula 4 Mei.

Katanya, langkah ini penting kerana perniagaan dan pekerjaan merupakan sumber pendapatan, dan sekiranya sekatan ketat berpanjangan, ia akan menjejaskan kewangan.

Bagaimanapun, kegiatan ekonomi dan sosial yang melibatkan perhimpunan ramai atau sentuhan badan, yang mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan masih tidak dibenarkan, seperti panggung wayang dan bazar, bola sepak dan rugbi.

“Dengan ini kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat atau PKPB,” katanya dalam perutusan yang disiarkan secara langsung pagi tadi.

Semua yang berkenaan perlu mematuhi perkara berikut:

  • Penjarakkan sosial
  • Kerap mencuci tangan
  • Memakai topeng
  • Melaporkan maklumat mengenai jangkitan Covid-19 kepada jabatan kesihatan
  • Melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya
  • Individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan
  • Bilangan penumpang kenderaan awam perlu ambil kira penjarakkan sosial
  • Mengalakkan transaksi dalam talian

Perdana menteri berkata Majlis Keselamatan Negara, Majlis Tindakan Ekonomi, dan Mesyuarat Jemaah Menteri mencari jalan untuk mengimbangi keperluan memulihkan ekonomi dan kepentingan membendung wabak.

“Masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi,” katanya.

Restoran

Restoran dibenarkan untuk menerima pelanggan makan dalam premis, namun dengan beberapa aturan semula.

Jarak meja antara meja perlu sekurang-kurangnya 2 meter, bagi mencipta ruang dan jarak selamat bagi pelanggan dan pekerja.

Bergantung kepada saiz meja, pengusaha diminta mengehadkan hanya 1 hingga 3 orang berkongsi meja. Penjarakkan sosial juga perlu diikuti di kaunter bayaran.

Selain itu, pensanitasi perlu disediakan, pemeriksaan suhu badan pelanggan dan pengambilan nama dan nombor telefon disarankan, meja mesti dikerapkan dibersihkan, dan kakitangan wajib memakai topeng.

“Pemilik restoran, food truck dan gerai makan yang lain pun mesti buat perkara yang sama…jika masih was-was, bungkus sajalah. Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik,” tambahnya.

Majikan dan pekerja

Kerajaan mengalakkan majikan membenarkan kakitangan bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.

Mesyuarat juga digalakkan secara dalam talian menggunakan medium yang selamat.

Perdana menteri berkata galakan ini termasuk kepada sektor awam.

“Bincang dengan pekerja. Mana-mana tugas yang boleh dibuat di rumah, buat di rumah. Ini lebih baik,” katanya.

“Mungkin boleh susun jadual hari bekerja secara selang-seli. Hari ini masuk pejabat, esok bekerja dari rumah.”

Perdana menteri menambah penyediaan jadual selang-seli boleh membantu menyelesaikan satu lagi isu yang mendesak, iaitu penjagaan anak.

Beliau berkata walaupun pusat jagaan kanak-kanak akan dibuka dengan SOP tertentu, ibu bapa masih bimbang untuk menghantar anak.

“Hanya mereka yang tiada pilihan sahaja menghantar anak mereka,” katanya.

Majikan juga mesti memeriksa suhu badan pekerja setiap hari dan sekiranya didapati tinggi, nasihatkan pekerja berkenaan pulang atau ke klinik dengan segera.

Pekerja pula mesti pastikan meja dan peralatan pejabat sentiasa bersih.

“Elakkan sentuhan atau ‘body contact’ dengan rakan sekerja yang lain,” katanya.

Pengangkutan awam

Syarikat pengangkutan awam dikehendaki bersedia menghadapi peningkatan jumlah pengguna, dengan mengelakkan kesesakan di stesen bas, transit aliran ringgan dan transit aliran massa.

“Mesti ada tindakan diambil oleh pengendali syarikat pengangkutan awam untuk kawal pergerakan orang ramai,” katanya.

Pengguna pengangkutan awam dinasihatkan mengambil langkah melindungi diri sendiri seperti memakai topeng dan membawa pensanitasi sendiri.

“Anda akan sentiasa terdedah kepada penularan wabak Covid-19,” kata perdana menteri.

Berkaitan dengan itu, majikan juga dicadangkan supaya menyediakan waktu bekerja yang anjal bagi mengelakkan kesesakan.

“Kita boleh elakkan semua orang daripada berkejar-kejar untuk masuk pejabat pada waktu yang sama,” katanya.

Sukan dan riadah

Kerajaan menasihati orang ramai untuk kekal berada di rumah jika tiada keperluan, mengingatkan kegiatan melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan tidak dibenarkan.

“Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang, dan semua acara sukan dalam bangunan dan stadium,” katanya.

Aktiviti sukan luar bangunan yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan, seperti badminton dan tenis, serta tanpa penonton.

“Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya.

Sementara itu, kegiatan keagamaan termasuk solat Jumaat masih ditangguhkan.