PM Rusia sah positif Covid-19

Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin berkata, beliau disahkan positif Covid-19 dan akan menjalani kuarantin sehingga sembuh. (Gambar AP)

MOSCOW: Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin pada Khamis berkata, beliau disahkan dijangkiti Covid-19.

Beliau memaklumkan perkara itu semasa persidangan video dengan Presiden Vladimir Putin.

Mishustin, 54, yang dilantik pada Januari 2020 berkata, beliau akan menjalani kuarantin sehingga sembuh, lapor agensi berita Anadolu.

“Saya baru dapat tahu saya disahkan positif Covid-19. Saya akan menjalani kuarantin dan mengikut arahan doktor. Ini mesti dilakukan untuk melindungi rakan sekerja saya,” kata Mishustin.

Tugas beliau akan dipangku oleh naib perdana menteri Andrey Belousov.

Kes Covid-19 di Rusia melepasi angka 105,000 pada Khamis dan lebih 1,000 orang maut.

Seramai 7,099 orang diuji positif dan 101 pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu.