Sarawak umum program ekonomi jangka panjang pasca Covid-19 dalam masa terdekat, kata KM

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memastikan ekonomi terus mampu berkembang walaupun dalam keadaan yang sukar.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg akan mengumumkan program jangka panjang untuk memulihkan ekonomi negeri ini bagi pasca perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Covid-19 untuk manfaat semua dalam masa terdekat.

Dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2020 hari ini, beliau berkata, walaupun kerajaan pusat mengumumkan kelonggaran melalui pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kerajaan Sarawak akan memperhalusi kaedah pelaksanaan kelonggaran ini mengikut keperluan negeri.

“Sudah tentu ekonomi pasca Covid-19 akan berubah dan saya akan membuat pengumuman selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkepentingan ataupun stakeholders,” katanya.

Katanya, sebagai ketua kerajaan, beliau akur tahun ini amat sukar bagi semua golongan pekerja di semua bidang berikutan wabak Covid-19 yang mengkehendaki PKP dilaksanakan untuk mengekang jangkitan virus berkenaan.

“PKP selama 4 fasa setakat ini memudaratkan keseluruhan perniagaan dan industri. Mereka yang bergaji hari adalah golongan yang mengalami keadaan yang begitu sukar untuk memastikan setiap hari ada bekalan makanan untuk diri dan keluarga,” katanya.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak memberi bantuan secara langsung atau tidak langsung melalui program Bantuan Khas Sarawakku Sayang 2.0 (BKSS 2.0), namun beliau mengaku ia tidak mencukupi untuk meliputi semua keperluan rakyat.

Beliau berkata, bantuan secara langsung seperti bantuan tunai bagi kumpulan B40 dan subsidi utiliti merupakan bantuan terus untuk meringankan beban rakyat, khususnya golongan pekerja dan berharap mereka dan masyarakat keseluruhannya akan terus bertabah dalam menghadapi segala dugaan.

“Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan Sarawak akan terus berusaha untuk memastikan ekonomi negeri terus mampu berkembang walaupun dalam keadaan yang sukar.

“Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat untuk terus mempunyai kemampuan mendapat pekerjaan dan menerima pendapatan yang konsisten bagi menyara diri dan keluarga,” katanya.