Aktivis, kumpulan hak asasi global kecam serbuan tak berperikemanusiaan ke atas migran

Tangkap layar sebuah klip video yang dikongsi di Twitter menunjukkan ratusan warga asing berada dalam jarak dekat di Jalan Masjid India, sebuah kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan.

PETALING JAYA: Aktivis hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa mengkritik operasi menyasarkan pendatang tanpa izin di Jalan Masjid India semalam, dengan sebuah kumpulan menyifatkannya “tidak berperikemanusiaan dan bodoh”.

Aktivis hak asasi tempatan, Adrian Pereira berkata, serbuan yang dijalankan anggota polis dan imigresen boleh menimbulkan ketakutan dan kecurigaan dalam kalangan pendatang tanpa izin ketika kerjasama mereka diperlukan dalam pengesanan kes Covid-19.

“Ini ialah halangan utama terhadap usaha yang kami lakukan untuk merapatkan desifit antara migran dan kerajaan,” katanya kepada FMT sambil menambah operasi besar-besaran menyasarkan pendatang tanpa izin akan memakan diri pihak kerana mereka tidak akan tampil untuk pemeriksaan kesihatan.

Human Rights Watch Asia menyifatkan serbuan itu “tidak berperikemanusiaan dan bodoh” kerana ia akan menghalang migran yang tinggal di kawasan lain di negara ini bekerjasama dalam usaha membendung Covid-19.

Katanya, Putrajaya yang perlu mengutamakan kesihatan awam, sebaliknya kelihatan lebih berminat dalam mempromosikan dasar xenofobia yang akan menghasut rakyat Malaysia menentang warga asing tidak berdaya.

Sementara itu, Adrian mempersoalkan sama ada Jabatan Imigresen sudah berbincang dengan Kementerian Kesihatan sebelum melakukan serbuan itu.

Semalam, penduduk di Jalan Masjid India memberitahu FMT, kira-kira 300 pegawai imigresen menyertai operasi itu yang dilakukan pada pagi untuk menahan warga asing dengan permit kerja tamat tempoh.

Gambar dan rakaman video yang dikongsi atas talian menunjukkan ramai yang ditahan pihak berkuasa.

Seorang penduduk Menara City One memberitahu FMT, pegawai memeriksa dokumen penghuni dari rumah ke rumah.

Kumpulan hak asasi migran, Tenaganita mendakwa Putrajaya melanggar janjinya untuk menghentikan tindakan terhadap pendatang tanpa izin bagi menggalakkan mereka menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengarah Eksekutifnya, Glorene Dass mendapati ramai yang ditahan ialah umat Islam yang sedang melalui bulan Ramadan dan ini menjadikan serbuan itu tidak berhati perut.

Beliau turut mengecam penahanan kanak-kanak bawah umur dengan ada yang hanya berusia setahun.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

“Tugas kami di Kementerian Kesihatan ialah untuk memastikan mereka tidak dijangkiti, sama ada mereka pendatang asing berdokumen, pendatang tanpa izin atau warganegara Malaysia.”

Aktivis hak asasi berpangkalan di Bangkok, John Quinley III memberitahu FMT, pihak berkuasa mewujudkan “persekitaran gerun” dalam kalangan migran dan pelarian.

Katanya, ini boleh menghalang usaha kerajaan dalam menentang Covid-19.

Quinley yang merupakan sebahagian daripada Fortify Rights, menggesa pihak berkuasa berhenti menahan orang berdasarkan status imigresen mereka, sebaliknya fokus untuk membantu komuniti mudah terjejas.

Beliau mendapati serbuan itu dilakukan ketika kempen kebencian terhadap pelarian, khasnya etnik Rohingya, dan menggesa kerajaan bersuara menentang tindakan berniat jahat sedemikian.