Anak, menantu Zahid akan didakwa kerana ingkar PKP, kata polis

Nurulhidayah Ahmad Zahid didakwa memuat naik beberapa gambar di Instagram, berkait kunjungan ke beberapa kementerian di Putrajaya pada 20 April. (Gambar Instagram)

PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Huzir Mohamed memaklumkan sudah mendapat arahan Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa anak presiden Umno, Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suami atas kesalahan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Huzir berkata, Nurul Hidayah dan suami, Saiful Nizam Mohd Yusoff akan didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalam Penyakit Berjangkit (No.3) 2020 dan pendakwaan akan dibuat dalam masa tempoh terdekat.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat seolah-olah polis tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan perlanggaran ini.

“Polis ingin menegaskan sekali lagi, tidak ada sesiapa akan terlepas daripada tindakan sekiranya didapati dengan sengaja melanggar apa-apa jua undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Huzir sebelum ini berkata, Nurul Hidayah dan suami sudah diambil keterangan pada 24 April dan kes disiasat bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.

Mereka turut disiasat bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran.

Siasatan D5 ke atas pasangan suami isteri itu mempunyai kaitan dengan mesej Nurulhidayah di Instagram peribadinya, melibatkan beberapa kunjungan yang dilakukannya dan suami ke beberapa kementerian di Putrajaya sebelum ini.