Sentiasa pakai penutup mulut, hidung walaupun tidak wajib, kata Noor Hisham

KP Kesihatan Noor Hisham Abdullah menggalakkan orang ramai memakai ‘mask’ tapi ia bukan satu syarat.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai sentiasa memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di kawasan tumpuan awam bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Beliau berkata walaupun perkara itu bukan satu syarat wajib untuk orang ramai memakainya, namun ini adalah sesuatu yang digalakkan.

“Memakai penutup mulut dan hidung adalah digalakkan. Ia bukan kewajipan tapi ia sangat digalakkan terutamanya kalau kita berada di kawasan awam dan ramai orang.

“Kita menggalakkan mereka memakai ‘mask’ tapi ia bukan satu syarat,” katanya pada sidang media hariannya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan orang ramai yang mengambil mudah selepas kerajaan memperkenalkan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP).

Antaranya, restoran dibenarkan beroperasi dengan syarat mematuhi SOP perniagaan, aktiviti sukan luar seperti badminton atau tenis di luar tanpa penonton, joging, mengayuh basikal, golf dan larian tidak lebih 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakkan sosial.

Hisham turut mengingatkan agar orang ramai sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial 1 meter antara satu sama lain apabila mereka berada di khalayak.

Katanya, langkah itu boleh mengelak penularan Covid-19 dan mereka perlu mematuhi SOP KKM dengan menjaga kebersihan diri dan sering mencuci tangan.