Ibu tunggal dipenjara langgar PKP pertikai hukuman denda ke atas anak Zahid

Nurul Hidayah Ahmad Zahid (kanan) dijatuhi hukuman denda RM800 kerana melanggar PKP, sementara ibu tunggal B Lisa Christina pada mulanya dijatuhi hukuman penjara 30 hari atas kesalahan sama, tetapi dikurangkan kepada denda RM1,000 berikutan rayuan.

PETALING JAYA: Seorang ibu tunggal yang sebelum ini dipenjara atas kesalahan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) mempertikai keputusan mahkamah yang mengenakan denda RM800 ke atas anak dan menantu bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi atas kesalahan sama.

B Lisa Christina, yang dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 bagi menggantikan hukuman penjara 30 hari mempersoalkan kemungkinan wujud keputusan berat sebelah apabila membabitkan Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan Saiful Nizam Mohd Yusoff dikenakan denda lebih rendah.

“Semasa saya dipenjara selama 8 hari, perasaan saya hancur berkecai kerana tidak dapat melihat anak dan berasa sangat malu. Saya juga terpaksa meminjam wang daripada emak sebanyak RM1,000 untuk membayar denda.

“Hari ini, saya baca anak Zahid hanya diberikan denda RM800 atas kesalahan yang lebih besar dan tidak ada hukuman penjara dikenakan terhadapnya.

“Adakah saya rakyat kelas kedua di negara ini? Kenapa wujud tindakan berat sebelah? Saya perlukan penjelasan berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Lisa, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 6 tahun, dihantar ke penjara Kajang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Dia yang tinggal di tingkat 5 sebuah unit apartment keluar membeli sepeket minuman di sebuah kedai berhampiran dan berhenti untuk berbual seketika bersama 3 individu lain sebelum pulang ke rumah, ketika itulah dia ditahan polis.

Tempoh penjaranya ditukar dengan denda selepas hakim mengambil kira kesalahan yang dilakukannya itu merupakan kesalahan pertama dan diperintah dipenjara selama 8 hari.

Individu yang melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) boleh didenda maksimum RM1,000, penjara hingga 6 bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Nurul dan suaminya didenda sebanyak RM800 ringgit selepas mengaku salah atas kesalahan melanggar PKP.

Isu ini timbul selepas Nurul memuat naik gambar mereka bersama Timbalan Menteri Alam Sekitar, Ahmas Masrizal Muhammad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Instagram pada 20 Apr.

Mereka dikritik kerana melanggar PKP, yang mula dilaksanakan pada 18 Mac bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Timbalan pendakwa raya Nur Ashikin Mokhtar berkata, kesalahan itu berlaku ketika fasa ke-3 PKP dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat termasuk hukuman penjara.