Pulau Pinang juga tidak dirundingi, kata KM berhubung PKPB

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yew hari ini menyokong rakan sejawatannya dari Sabah yang menafikan Putrajaya berunding dengan kerajaan negeri berhubung rancangan melonggarkan sekatan ke atas perniagaan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Pada sidang media di sini beliau berkata, pemimpin negeri diberitahu bahawa mereka berhak bersuara berkaitan PKPB, tetapi tidak pernah diberikan peluang untuk berbuat demikian.

Katanya, Pulau Pinang dimaklumkan tentang rancangan itu pada 29 April dan diberi jaminan bahawa satu prosedur operasi sstandard (SOP) akan disediakan.

Beliau berkata, SOP itu sepatutnya dikeluarkan serentak sebaik sahaja kerajaan negeri diberi peluang mengemukakan maklum balas mereka.

Bagaimanapun katanya, peluang itu tidak pernah muncul.

“Kami (kerajaan negeri) tidak membantah PKPB. Malah perdana menteri turut diberitahu bahawa kami menyokongnya. Kami hanya perlu masa untuk mengatur strategi (pelaksanaannya).”

Terdahulu hari ini, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal turut menafikan beliau dirundingi berhubung langkah menggantikan perintah kawalan pergerakan dengan PKPB.

Katanya, beliau hanya tahu tentang perkara itu selepas ia diumumkan di televisyen.

Chow berkata, beliau turut meminta diadakan mesyuarat keselamatan negeri dengan pegawai persekutuan pada 1 Mei.

“Tetapi pegawai pusat memberitahu kami bahawa SOP belum siap dan mereka tidak bersedia untuk bertemu.

“Tidak ada sebab untuk kami tolak PKPB. Tetapi perlu ada keseimbangan antara nyawa rakyat dengan perniagaan. Oleh sebab itulah kami memilih strategi pembukaan (perniagaan) secara berperingkat, bukannya pendekatan ‘big bang’ yang diambil oleh Azmin Ali.”

Beliau juga menyelar menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu yang memberi amaran kepada kerajaan negeri semalam berhubung ketidakpatuhan PKPB dengan bertanya sama ada Azmin terlalu “malas” untuk mendapatkan konsensus dalam perkara itu.

“Tak perlulah mengancam kami (dengan tindakan undang-undang), tetapi mari bekerja bersama-sama.

“Azmin Ali, buatlah keputusan sama ada hendak bekerja dengan kami,” katanya.

Azmin mengingatkan kerajaan negeri yang tidak mahu melaksanakan PKPB bahawa mereka mungkin berdepan tindakan undang-undang daripada industri kerana melarang ekonomi beroperasi semula seperti dirancang.

Pulau Pinang adalah salah satu negeri yang menyuarakan kebimbangan terhadap perintah bersyarat itu, sebaliknya memilih untuk membuka semula ekonominya secara berperingkat dari 8 hingga 12 Mei.

Chow berkata, tarikh 4 Mei ditetapkan oleh Putrajaya itu adalah terlalu awal bagi Pulau Pinang kerana ia merupakan negeri paling padat penduduk dan berdepan risiko penularan wabak Covid-19 yang lebih tinggi.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain memulakan semula ekonomi secara berperingkat bagi menghindari lonjakan angka jangkitan.

“Kita bersedia berdepan tindakan undang-undang bagi melindungi 1.8 juta rakyat daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.

Katanya, rancangan itu juga disokong oleh ketua pembangkang Muhammad Yusoff Mohd Noor dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Mansor Othman.

Pada masa ini tiada kes positif Covid-19 dicatatkan di Pulau Pinang.