45 kes baru Covid-19, tetapi lebih ramai pesakit pulih

PUTRAJAYA: Seorang korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban 107 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata 45 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah mangsa 6,428 orang sehingga kini.

“Daripada 45 kes baru yang dilaporkan hari ini, 1 kes import dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 44 kes, di mana sebanyak 1 kes dikesan dari kluster dan lokaliti bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD),” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, seramai 135 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan bilangan kes sembuh 4,702 sehingga kini.

Ketika ini, seramai 22 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi.

“Daripada jumlah tersebut, 9 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sehingga kini seramai 1,619 pesakit masih dirawat.

Mengenai kematian terbaru, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, dan penyakit buah pinggang.

Mangsa, kes jangkitan ke-2380, dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Apr dan disahkan meninggal dunia pada 5 Mei, 2.53 petang.