Doktor di Rusia ‘terjatuh’ dari tingkap hospital selepas dedah keadaan Covid-19

Alexander Shulepov dalam video yang dirakam dari katil hospital sebelum dia jatuh dari tingkap. (Gambar Instagram)

Seorang doktor menjadi petugas perubatan ketiga di Rusia yang jatuh daripada tingkap hospital setelah dia mengadu tentang keadaan kerjanya dan kekurangan PPE.

Alexander Shulepov, 37, kini berjuang untuk hidup setelah cedera parah di kepala apabila dia terjun daripada tingkap tingkat 2 di hospital di daerah Novousmanskaya di bandar Voronezh, Rusia, hujung minggu lalu.

Dia bertugas merawat pesakit Covid-19 di dalam ambulans.

Beberapa hari sebelum kejadian terjun itu, dia dan seorang rakannya Alexander Kosyakin membuat rakaman mendakwa mereka dipaksa bekerja oleh majikan walaupun positif Covid-19.

Kosyakin disoal oleh polis kerana disyaki menyebarkan berita palsu beberapa hari selepas dia muncul dalam talian, menurut laporan berita tempatan.

Shulepov kemudian membuat rakaman keduanya ketika dia dirawat di hospital akibat Covid-19, di mana dia menarik balik dakwaan yang dibuat dalam video pertama.

Insiden dia jatuh itu menimbulkan spekulasi bahawa dia didesak untuk merakam kenyataan menarik balik dakwaan dalam video pertamanya.

Shulepov adalah petugas hospital ketiga di Rusia yang jatuh secara misteri dari tingkap hospital setelah berusaha menunjukkan keadaan sebenar pesakit koronavirus di negara itu.

Dia mengalami patah tulang tengkorak selepas jatuh pada Sabtu dan kini dikatakan berada dalam keadaan kritikal.

2 doktor kanan wanita meninggal dunia baru-baru ini, juga selepas jatuh dari tingkap hospital setelah mereka mencabar pegawai atasan berhubung kekurangan PPE bagi mereka yang merawat pesakit Covid-19.

Dalam video awal mereka, Kosyakin berkata: “Doktor ambulans Alexander Shulepov berada di sebelah saya, dia baru disahkan Covid-19. Ketua doktor memaksa kami untuk bekerja, apa yang kami patut lakukan dalam keadaan ini? Kami tidak meninggalkan syif. Saya dan Alexander telah bekerja bersama selama sebulan. Inilah keadaannya. Semua orang kata ia palsu (tetapi) ini adalah fakta sebenar untuk anda.”

Bagaimanapun ketua hospital menolak semua tuduhan yang dibuat oleh Shulepov dan rakannya.

3 hari selepas video mereka tersebar, doktor itu merakam video keduanya dari hospital, mendakwa keadaannya bertambah baik.

”Hidung saya berair, yang lain semuanya baik-baik saja,” katanya.

Katanya, dalam video pertama “kami sangat beremosi” dan setelah didapati positif Covid-19, dia sudah tidak dibenarkan bertugas.

Bulan lalu Dr Natalya Lebedeva, 48, maut terjatuh dari tingkat 6 sebuah hospital di Moscow setelah rakan-rakannya mengatakan dia secara tidak adil dipersalahkan berhubung penularan koronavirus di klinik tempat dia bertugas selepas disahkan positif Covid-19.

Manakala Dr Yelena Nepomnyashchaya, 47, ibu kepada 2 anak, juga meninggal dunia setelah terjatuh dari tingkap di hospitalnya di bandar Krasnoyarsk, Siberia.

Rakan sekerja mengatakan dia mengadu mengenai kekurangan PPE untuk doktor dan jururawat sebelum kematiannya itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]