PPBM tiada hasrat sertai semula PH

Ketua Penerangan PPBM Mohd Radzi Jidin berkata, parti itu telah membuat keputusan untuk keluar PH dan tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengahn gabungan politik itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PPBM tidak pernah membincangkan dan tidak berhasrat untuk menyertai semula Pakatan Harapan (PH), kata ketua penerangan parti itu Mohd Radzi Jidin.

Beliau berkata, kenyataan timbalan presiden PPBM, Mukhriz Mahathir yang menyeru ahli parti supaya bekerjasama semula dengan PH adalah pendirian peribadi dan tidak melambangkan pendirian rasmi PPBM.

“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM sebagai badan eksekutif tertinggi parti dalam mesyuaratnya pada 23 Februari memutuskan untuk keluar daripada PH dan tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan gabungan tersebut,” katanya.

Radzi juga menegaskan pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama PH, PPBM dan Parti Warisan Sabah bertarikh 4 Mei lepas yang menggesa diadakan sidang penuh Parlimen, bukan sidang 1 hari seperti dijadualkan pada 18 Mei ini.

Katanya, ia adalah tindakan yang bercanggah dengan pendirian parti.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli parti untuk sentiasa mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti serta melaksanakan dasar parti.

“Saya ingin mengingatkan mana-mana ahli yang ingkar termasuk dengan sengaja menyertai gabungan parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahliannya secara serta-merta menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan PPBM,” katanya.

Pada 3 Mei, Mukhriz, yang juga menteri besar Kedah berkata, langkah kembali kepada PH adalah satu-satunya pilihan yang ada bagi PPBM bagi memastikan parti itu mendapat tempat dalam pilihan raya umum akan datang.

“PPBM hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kembali bersama PH. Pengalaman tidak sampai 2 bulan di bawah kerajaan Perikatan Nasional yang ‘tidak wujud’ itu sangat pahit bagi PPBM hingga ke akar umbi,” katanya di Facebook.

Radzi berkata, setiap ahli hendaklah sentiasa mematuhi pendirian rasmi parti yang dibuat secara kolektif mengikut kaedah dan saluran yang selaras dengan perlembagaan PPBM.