Sepi tanpa pengunjung, akuarium Tokyo seru orang ramai ‘FaceTime’ dengan belut murung

Selepas melakukan panggilan “FaceTime”, kesemua belut itu menampilkan diri secara beransur-ansur dan tidak lagi murung seperti sebelum ini. (Gambar AP)

Selepas sekian lama tidak menerima pengunjung, seorang penjaga akuarium di Jepun mula mendapati spesis belut jenis “grass eel” mula menunjukkan tanda kemurungan.

Disebabkan itu, akuarium Sumida, Tokyo meminta orang ramai berinteraksi dengan belut berkenaan menerusi panggilan video “FaceTime”.

5 buah iPad diletakkan di luar tangki bagi memudahkan orang ramai melihat ke dalam ruang habitat buatan spesis berkenaan.

Biasanya belut-belut kecil ini akan muncul dari permukaan tanah akuarium dan akan menggoyangkan tubuh badannya ketika diperhatikan manusia.

Namun, selepas sekian lama tidak mempunyai pengunjung, kira-kira 300 ekor belut itu mula menunjukkan perubahan menjadi “murung”.

Malah ada juga belut yang menjadi takut dengan manusia.

Belut jenis ‘grass eel’ mula murung selepas tidak menerima pengunjung. (Gambar AP)

Akhirnya selepas berpeluang membuat panggilan “FaceTime” pada Ahad lalu, kesemua belut itu menampilkan diri secara beransur-ansur dan tidak lagi murung seperti sebelumnya.

Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, ada haiwan yang mula keluar dari sarangnya dan memenuhi jalanan, namun ada juga haiwan yang mahu interaksi dengan manusia, sama seperti belut-belut ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]