Covid-19: Thailand tangguh lebih 160,000 kes mahkamah

Mulai Jun mahkamah di Thailand boleh menjadualkan semula tarikh perbicaraan di luar waktu kerja rasmi atau pada hari cuti untuk menyelesaikan kes yang tertangguh (Gambar AP)

BANGKOK: Penularan wabak COVID-19 menyebabkan lebih 160,000 kes di mahkamah Thailand terpaksa ditangguhkan, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Setiausaha agung Pejabat Kehakiman Sarawut Benjakul berkata, Suruhanjaya Pentadbiran Kehakiman memerintahkan semua perbicaraan kes yang ditetapkan lebih awal pada 24 Mac dan 31 Mei ditangguhkan, membabitkan 163,620 kes.

Namun, ada beberapa kes dikecualikan daripada penangguhan.

Suruhanjaya itu juga menasihati mahkamah untuk menyelesaikan kes-kes tertentu secara dalam talian.

Mulai Jun dan seterusnya, mahkamah boleh menjadualkan semula tarikh perbicaraan di luar waktu kerja rasmi atau pada hari cuti untuk menyelesaikan kes yang tertangguh, kata Sarawut.