Dr M masih jadi penentang utama kerajaan, kata ahli akademik

Penganalisis politik setuju Anwar Ibrahim ialah pilihan tepat sebagai ketua pembangkang Parlimen, tetapi semua perhatian masih akan tertumpu kepada Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Port Dickson dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim ialah pilihan tepat sebagai ketua pembangkang Parlimen, tetapi peranan itu hanya bersifat simbolik, kata pakar sains politik, James Chin.

Beliau berkata, Dr Mahathir Mohamad yang menjadi pembangkang sebenar kepada kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania, berkata Anwar ialah pilihan tepat sebagai ketua pembangkang Parlimen kerana beliau berkarisma dan pandai bercakap.

“Dalam sistem Parlimen British, ketua pembangkang dilihat sebagai PM alternatif, tetapi tidak kira bagaimana anda melihatnya, ini bukan situasinya bagi Anwar. Semua perhatian akan tertumpu kepada Mahathir dan Muhyiddin.

“Anda perlu memuji Anwar kerana tidak berputus asa, tetapi beliau gagal memanfaatkan peluang untuk jawatan PM.”

Katanya, jika usul tidak percaya terhadap Muhyiddin berjaya dan kerajaan baru dibentuk, ia masih berkisar mengenai Mahathir.

“Tindakan terbaik yang perlu difokuskan Anwar untuk pembangkang ialah memastikan seramai mungkin ahli Parlimen menyokong usul tidak percaya Mahathir. Ini adalah ironik disebabkan hubungan silam mereka dan hakikat Anwar bukan calon untuk jawatan PM.”

Bagaimanapun, seorang lagi penganalisis politik, Jeniri Amir berkata Anwar patut melupakan isu politik di Dewan Rakyat dan memfokuskan isu sumber pendapatan rakyat.

“Lupakan politik, lupakan usul tidak percaya atau menjadi perdana menteri. Rakyat kehilangan kerja dan ekonomi bermasalah. Jadilah ketua pembangkang sebenar dan tumpukan isu-isu ini.”

Beliau turut bersetuju Anwar ialah pilihan terbaik sebagai ketua pembangkang.

“Beliau tahu selok-belok kerajaan dan pembangkang. Di Dewan rakyat, anda memerlukan pemidato dan pejuang yang baik,” kata Jeniri yang pernah berkhidmat di Universiti Malaysia Sarawak.

“Saya tidak rasa Mahathir sesuai menjadi ketua pembangkang Parlimen lagi dan ia juga tidak wajar kerana PPBM tidak bersama pembangkang.”