Keluarga terpisah kerana PKP dibenar rentas negeri

PETALING JAYA: Kerajaan membenarkan keluarga yang terpisah kerana terkandas di negeri lain selepas perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa melakukan perjalanan merentas negeri.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata larangan perjalanan rentas negeri menyebabkan ada suami atau isteri dan anak-anak tidak bersama sejak PKP berkuatkuasa pada 18 Mac.

“Saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada suami atau isteri untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga,” katanya pada perutusan khas hari ini.

Bagi perjalanan yang melibatkan Malaysia Timur, perdana menteri memohon kerajaan Sabah dan Sarawak memberikan kelonggaran yang sama.

Muhyiddin berkata permohonan untuk perjalanan sedemikian boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau temujanji dengan balai polis berdekatan.