Bar Kelab Diraja Selangor ditutup kerana ingkar PKP

Kakitangan DBKL di Kelab Diraja Selangor di pusat bandar raya pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Bar di Kelab Diraja Selangor (RSC) di rumah kelab di Dataran dan Bukit Kiara ditutup selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan berikutan aduan mengenai jarak sosial.

Pasukan DBKL mengepung Long Bar dan Hash Bar serta Cellar, yang tidak beroperasi. Pengurusan kelab kemudiannya menutup bar Pavilion di Bukit Kiara.

Tindakan itu susulan aduan bahawa sesetengah ahli kelab tidak mematuhi peraturan jarak sosial sewaktu minum di Long Bar dan Hash Bar. Gambar pengunjung disebarkan di media sosial, sekali gus membawa kepada aduan mengenai “individu yang melanggar peraturan yang mudah”.

Difahamkan bahawa pengurusan kelab akan meminta penjelasan berhubung penutupan itu daripada DBKL pagi esok. FMT menunggu respons daripada DBKL dan presiden kelab, Sylvester Devaraj.

Kelab berkenaan mengeluarkan notis bertarikh 10 Mei kepada ahli bahawa pihak pengurusan dinasihatkan tidak membuka bar dalam tempoh perlaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Oleh sebab itu, Hash Bar, Long Bar dan Pavilion ditutup serta-merta,” kata notis itu.

Tempat makan di Verandah, Restoran Cina dan Coffee House akan beroperasi dengan menu terhad dari tengah hari hingga 10 malam “tertakluk kepada pematuhan peraturan jarak sosial dan prosedur operasi standard (SOP) PKP.”

Verandah di Kelab Diraja Selangor.

Bar RSC dibuka semula pada Rabu lepas, selepas 49 hari aktiviti kelab dihentikan berikutan penguatkuasaan PKP pada 18 Mac di seluruh negara.

Beberapa ahli berkata, pihak kelab harus mengambil tindakan disiplin ke atas mereka yang gagal mematuhi peraturan penjarakan sosial. Seorang ahli yang enggan dikenali berkata, pengawal keselamatan kelab juga berdepan masalah untuk mengawal pengunjung pada Jumaat.

Seorang ahli berkata, individu tidak bertanggungjawab juga telah menyebarkan gambar mereka sedang bergembira sewaktu minum, sekali gus menyebabkan kelab mendapat malu.

DBKL dijangka menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas kelab sosial lain bagi memastikan mereka mematuhi peraturan PKP.