Harga kertas tandas di Malaysia naik 32%, ke-5 tertinggi di dunia

Finder.com berkata, banyak barangan isi rumah mengalami kekurangan bekalan disebabkan pembelian panik di seluruh dunia.

PETALING JAYA: Satu kajian terbaru menunjukkan kenaikan harga kertas tandas di Malaysia ialah ke-5 tertinggi daripada 90 negara dalam tempoh sebulan, susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk membendung penularan

Kajian oleh platform perbandingan kewangan Finder.com menunjukkan harga 4 gulung kertas tandas di Malaysia meningkat 32.26% daripada AS$1.55 (RM6.72) kepada AS$2.05 (RM8.88) mulai 25 Mac hingga 22 April lalu.

Ini menyusul Norway yang mengalami kenaikan harga sebanyak 67.53%, Singapura (48.84%), Cyprus (35.08%) dan Austria (33.85%).

Kajian itu berdasarkan data sumbangan pengguna daripada kalkulator kos sara hidup Expatistan.

“Keseluruhannya, harga di seluruh dunia meningkat kira-kira 3.37% antara 25 Mac hingga 22 April, daripada AS$1.93 (RM8.36) kepada AS$2 (RM8.67), dengan hampir 57% daripada semua negara yang dikaji Expatistan menyaksikan peningkatan dalam harga kertas tandas,” kata Finder.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira 18% tiada perubahan harga, manakala 26% mengalami penurunan harga.

Ketua Pengarang global Finder, Angus Kidman berkata kenaikan harga boleh berpunca daripada bekalan dan permintaan.

“Dengan pembelian panik berlaku di seluruh dunia, banyak barangan isi rumah mengalami kekurangan bekalan.

“Walaupun kerajaan bertindak cepat untuk menghentikan kenaikan harga, sentiasa ada pihak yang mengambil kesempatan daripada kekurangan bekalan dengan menaikkan harga.”

Katanya, kerajaan Malaysia bertindak cepat dengan melaksanakan PKP.

“Tetapi, kerosakan sudah berlaku kerana kenaikan harga kertas tandas di Malaysia lebih tinggi daripada apa yang kita lihat di negara lain.”

Bagaimanapun, beliau berkata, data Expatistan dilaporkan sendiri dan penggunaannya terhad.

“Kita tidak tahu dengan pasti sama ada kenaikan harga itu disebabkan peruncit menaikkan harga untuk produk mendapat permintaan tinggi atau pengguna yang melaporkan harga lebih tinggi.”