Hisham jelaskan kenapa saringan Covid-19 besar-besaran tidak wajib

Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menjelaskan kerajaan tidak mewajibkan saringan Covid-19 besar-besaran kerana mereka yang diuji masih terdedah kepada persekitan luar selepas saringan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memberikan contoh semua pekerja yang diuji pertama kali dalam saringan besar-besaran sebelum kembali bekerja masih terdedah kepada virus yang menular dalam komuniti pada keesokan hari dan minggu seterusnya.

“Berapa kali kita nak uji mereka? Sebab mereka setiap hari akan terdedah pada komuniti dan virus yang ada pada komuniti,” katanya menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media hari ini.

Atas sebab itu, Hisham berkata pihaknya mengamalkan pendekatan secara bersasaran, menjalankan saringan ke atas kumpulan dan lokaliti yang dikenalpasti.

“Kita saring mereka yang ada gejala positif dan juga tak ada gejala tetapi ada kotak rapat dengan orang yang ada positif Covid-19,” katanya.

Mengulas penggunaan kit ujian pantas antibodi (RTK Antibodi) di klinik swasta bagi saringan pekerja untuk kembali bertugas, kementerian tidak menyarankannya sebagai ujian pengesahan Covid-19.

Hisham menjelaskan RTK Antibodi yang menggunakan sampel darah tidak boleh digunakan sebagai ujian pengesahan kerana kehadiran antibodi tidak dapat mengesahkan jangkitan semasa.

Keputusan antibodi negatif pula tidak menjamin individu yang diuji itu tidak dijangkiti Covid-19.

Ujian itu, sebaliknya, disaran bagi kegiatan pengawasan dan kajian epidemiologi.

“Ujian RTK Antibodi boleh digunakan bagi tujuan pelaksanaan kajian prevalen jangkitan Covid-19 di dalam masyarakat atau di kalangan kumpulan sasar,” katanya.

“Untuk makluman, buat masa ini tiada bukti kukuh dari kajian saintifik yang menunjukkan bahawa orang yang telah pulih daripada Covid-19 dan mempunyai antibodi adalah terlindung daripada jangkitan kedua,” katanya.