Idris Jusoh ialah pengerusi baru Felda

Bekas menteri dan menteri besar, Idris Jusoh dilantik mengetuai Felda.

PETALING JAYA: Bekas menteri dan menteri besar, Idris Jusoh, dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menggantikan Mohd Bakke Salleh.

Menurut mesej tahniah di akaun Facebook Felda, pelantikan Idris berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Bernama memetik Pengarah Besar Felda, Othman Omar sebagai berkata, beliau yakin Idris mampu mempercepatkan pemulihan Felda.

Idris yang juga ahli Parlimen Besut, ialah menteri pengajian tinggi dari 2015 sehingga 2018. Beliau pernah dilantik sebagai menteri besar Terengganu dan pengerusi Mara.

Bulan lalu, FMT melaporkan Bakke yang dilantik ke jawatan itu pada Julai tahun lalu – antara orang penting dalam agensi kerajaan yang akan digantikan.

Bakke dilantik sebagai pengerusi Telekom Malaysia Bhd berkuat kuasa hari ini.