Jahit gaun PPE ‘kerja rumah’ murid 9 tahun dalam perangi Covid-19

Nur Afia Qistina Zamzuri menunjukkan PPE yang dijahitnya untuk petugas barisan hadapan perubatan di hospital tempatan. (Gambar Reuters)

SEREMBAN: Bagi murid sekolah rendah berusia 9 tahun, Covid-19 sukar difahami.

Tetapi yang pasti Nur Afia Qistina Zamzuri tahu satu perkara: Ia berbahaya.

Jadi ketika mendengar sebuah hospital mencari orang untuk menjahit pakaian perlindungan diri (PPE), dia segera menawarkan diri.

“Saya rasa tak sedap, jadi saya beritahu ibu saya mahu membantu,” Nur Afia beritahu Reuters di rumahnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Nur Afia yang belajar menjahit pada usia 5 tahun, mampu menghasilkan 4 gaun PPE sehari, tekun menjahit di antara waktu bermain dan menghadiri kelas dalam talian ketika sekolah ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.

Malaysia melaporkan lebih 6,600 jangkitan, termasuk lebih 100 kematian.

Sejak awal Mac, Nur Afia menghasilkan 130 gaun PPE untuk 2 hospital berhampiran.

Lebih 60 pasang sedang disiapkan, walaupun bulan ini lebih mencabar berikutan Nur Afia perlu berpuasa sepanjang Ramadan.

Namun, berpuasa tidak menghalang kanak-kanak itu, dia sering mula menjahit selepas sahur.

Nur Afia mula menunjukkan minat menjahit selepas melihat ibunya Hasnah Hud, seorang tukang jahit, menghasilkan pakaian menerusi perniagaan yang dijalankan dari rumah.

Apabila kemahiran Nur Afia meningkat, dia mula memperoleh wang sendiri dengan menjahit sarung bantal dan menampal pakaian koyak untuk jiran dan saudara-mara.

Hasnah berkata anaknya itu menjadi lebih bersemangat selepas melihat gambar petugas kesihatan memakai gaun yang dihasilkannya.

“Dia kata ‘Ibu saya rasa saya tak ada kerja sekolah jadi saya mahu menjahit lebih banyak lagi’,” kata Hasnah.