Kerajaan bincang majikan sedia ‘tag ID’ bukti pekerja asing jalani ujian Covid-19

Kerajaan memutuskan semua pekerja asing di semua sektor diwajibkan menjalani saringan Covid-19

PUTRAJAYA: Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia supaya majikan menyediakan “tag” bagi menunjukkan pekerja asing mereka sudah jalani ujian swab Covid-19.

Beliau berkata setakat ini pekerja asing hanya mempunyai surat jika mereka sudah mengambil ujian swab Covid-19.

“Siapa saja yang jalani ujian swab untuk Covid-19 di hospital atau klinik akan keluarkan surat yang katakan mereka negatif atau positif.

“Kalau positif, akan terus masuk hospital dan jika negatif akan keluarkan surat mengatakan mereka tidak dijangkiti,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan semua pekerja asing di semua sektor diwajibkan menjalani saringan Covid-19, ekoran peningkatan kes positif melibatkan pekerja asing, susulan kes di satu tapak pembinaan di Ampang.

Ismail bagaimanapun berkata identiti diri (ID) pekerja asing untuk menunjukkan sudah jalani ujian Covid-19 setakat ini belum ada.

“Walaupun surat ada pada mereka kalau kita nak tahu, boleh tanya dan minta mereka keluarkan surat tapi kalau nak nampak mereka negatif dari segi ID dia pakai belum ada lagi.

“Bagaimanapun melalui sekatan atau pemeriksaan dan sebagainya boleh tunjuk surat mereka itu,” katanya.