KPLB umum lantikan pengerusi baru 4 agensi

Menteri Pembangunan Luar Bandar Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, pihaknya yakin Mara dan subsidiarinya akan terus dipacu dengan aspirasi dan agenda membangunkan sosio-ekonomi Bumiputera. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) hari ini mengumumkan pelantikan pengerusi baru bagi 4 agensi di bawahnya yang akan berkuat kuasa 15 Mei ini.

Mereka ialah Prof Emeritus Dr Sukiman Sarmani sebagai pengerusi Universiti Teknikal MARA Sdn Bhd (Unitek-Mara), Ahmad Azizi Ali (Mara Incorporated), Azrulnizam Abdul Aziz (Pelaburan Mara Bhd), manakala Burhanuddin Md Radzi sebagai pengerusi Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia Sdn Bhd (DDEC).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Dr Abdul Latiff Ahmad dalam kenyataannya hari ini berkata, mereka yang dilantik mempunyai ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman yang luas serta menjiwai semangat perjuangan dalam merealisasikan visi dan misi agensi masing-masing.

Beliau berkata, KPLB yakin Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan subsidiarinya akan terus dipacu dengan aspirasi dan agenda perjuangan membangunkan sosio-ekonomi bumiputera dengan pelantikan berkenaan.

“Ini dalam memastikan 3 sektor utama Mara meliputi keusahawanan, pendidikan dan pelaburan akan digerakkan secara seimbang dan menjadi teras strategik untuk membawa agenda bumiputera ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.