Pemimpin PPBM mahu buang DAP, kata Dr M berhubung tumbangnya PH

Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersama Presiden PPBM Muhyiddin Yassin dan pemimpin lain sebelum tumbangnya kerajaan PH.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pemimpin PPBM mendorong parti itu keluar dari Pakatan Harapan (PH) disebabkan rakan komponennya DAP.

Mahathir yang merupakan pengerusi PPBM ketika parti itu meninggalkan PH, berkata demikian ketika menjelaskan mengapa beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri yang mencetuskan krisis politik yang berakhir dengan pelantikan presiden PPBM, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

Dalam video yang disiarkan hari ini, beliau berkata pemimpin PPBM mendesak supaya parti itu keluar dari PH, suatu langkah yang menurutnya tidak ada asas yang baik kerana gabungan itu memberikan sokongan penuh kepadanya yang memutuskan beliau bebas untuk menentukan bila beliau hendak meletak jawatan.

Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri PH dalam perjanjian sebelum pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.

Sebahagian daripada perjanjian itu, beliau sepatutnya menyerahkan kuasa kepada presiden PKR Anwar Ibrahim pada tarikh yang tidak ditentukan.

“Apabila keputusan itu dibuat (pada mesyuarat terakhir majlis presiden PH) dan saya dapat sokongan sepenuhnya daripada PH, saya beritahu kepada Muhyiddin, oleh kerana saya disokong penuh, apa sebabnya yang saya nak keluar daripada PH?

“Kalau ada sebab lain, tunggu, kita akan keluar daripada PH. Tetapi beliau berpendapat kita perlu keluar daripada PH hari ini juga, katanya kalau tak keluar, maka orang Melayu akan dihancurkan oleh DAP.”

Namun Mahathir berkata beliau tidak yakin DAP boleh menghancurkan orang Melayu dengan begitu mudah.
Mahathir berkata beliau meminta pemimpin PPBM menunggu dan berfikir secara mendalam mengenai akibat meninggalkan PH kerana gabungan itu merupakan parti yang memenangi pilihan raya umum.

“Dan kita bersama dengan PH. Dengan sokongan mereka kita dapat kemenangan,” katanya sambil menambah PPBM tidak boleh tiba-tiba menolak PH dan bekerjasama dengan Umno dan PAS yang katanya kalah dan terlibat dengan rasuah.

Namun, katanya, pemimpin PPBM tidak mempedulikan pandangannya dan keluar daripada PH.

“Saya fikir dengan mendalam – kalau parti saya menolak saya, saya perlu lepaskan jawatan. Itulah sebabnya saya lepaskan jawatan sebagai pengerusi PH dan kemudian sebagai PM,” katanya.