Penduduk bimbang tiada tindakan kren projek PR1MA Bukit Mahkota patah

Keadaan tower kren projek PR1MA yang patah menimbulkan kebimbangan penduduk sekitar Bandar Bukit Mahkota. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Penduduk sekitar tapak pembinaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Bandar Bukit Mahkota bimbang susulan keadaan kren di tapak pembinaan yang patah sejak sekian lama namun tiada sebarang tindakan diambil.

Seorang pengguna Facebook, Hishamuddin Abd Majid berkongsi perkara itu memaklumkan struktur kren yang patah itu berbahaya apabila ia kekal tergantung dan dibimbangi boleh menimpa mereka yang berada di kawasan berdekatan.

“Janganlah sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijadikan alasan untuk biarkan tower kren yang patah itu tergantung di atas, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) semua mana? kenalah pantau tapak ini.

“Kuaters pekerja di tepi bawah sana dan ada penempatan penduduk sebelah itu,” katanya di Facebook yang dikongsi di laman Bandar Baru Bangi Community.

Hishamuddin turut mendesak pihak terlibat mengambil tindakan segera bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Sementara itu, seorang kakitangan PR1MA yang dekat dengan projek berkenaan mengesahkan kejadian tersebut.

Mohamad Afif berkata, tindakan awal sudah diambil sebaik sahaja kejadian itu berlaku dan kini pihak terbabit termasuk bahagian keselamatan projek telah maklum dan dalam proses menyelesaikan perkara tersebut.

“Sekarang ini isu tersebut sudah diambil tindakan, cuma saya difahamkan mereka yang bekerja untuk mencabut kren tersebut tidak bekerja kerana PKP, tapi kita dalam proses mengambil tindakan dan pemaju dan pihak keselamatan sudah masuk pantau,” katanya kepada FMT.

Katanya, kejadian itu berlaku susulan ribut kuat melanda kawasan itu beberapa hari sebelum PKP.

“Ia berlaku beberapa hari sebelum PKP, ribut kuat, keadaan sekitar juga terjejas termasuk banyak pokok sekitar tumbang,” katanya.

Mengulas risiko kepada kediaman orang awam, beliau berkata, jarak kren tersebut dengan penempatan orang awam jauh.

“Berdekatan dengan penempatan awam tidak juga sebenarnya, jarak itu agak jauh,” katanya sambil memaklumkan pihaknya berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin dengan kejadian itu dan memaklumkan isu tersebut akan diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, sepanjang tempoh menunggu selesai, kawasan sekitar akan dikawal dan dipantau bagi mengelak keadaan tidak diingini berlaku.

Projek tersebut bermula sejak 2017 dan dijangka siap 2021.