Sabah catat 10 kes baru Covid-19 selepas 2 hari tiada kes

Sabah membenarkan kebanyakan perniagaan beroperasi semula selepas 2 bulan pelaksanaan PKP.

KOTA KINABALU: Sabah melaporkan 10 kes baru Covid-19 selepas tiada kes direkodkan selama 2 hari lepas.

Empat kes dilaporkan di Lahad datu, 3 di Semporna, 2 di Keningau dan 1 di Tawau.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Frankie Poon berkata, Jabatan Kesihatan belum mengesahkan lokasi asal jangkitan virus tersebut.

Kes baru hari ini menjadikan jumlah jangkitan Covid-19 di Sabah meningkat kepada 327 kes sewaktu beribu-ribu rakyat negeri ini kembali bekerja selepas berada di rumah selama hampir 2 bulan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Menteri Shafie Apdal baru-baru ini mengumumkan pembukaan semula hampir semua sektor perniagaan berikutan pelaksanaan fasa ke-5 PKP di negeri itu.

Poon berkata, Keningau merekodkan kes paling tinggi iaitu 8, diikuti oleh Lahad Datu dan Tawau (5), dan Kota Kinabalu serta Semporna (4).

Beliau juga berkata, 4 pesakit disahkan pulih hari ini, menjadikan kes didiscaj dari wad sebanyak 290 orang.

Tiada kes baru di Sarawak, Bintulu kini zon hijau

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata, tiada kes baru dicatatkan di negeri itu hari ini.

Bahagian Bintulu diisytiharkan sebagai zon hijau setelah tidak mencatatkan kes baru positif Covid-19 selama 14 hari.

Jawatankuasa itu berkata, 7 pesakit disahkan pulih dan didiscaj dari wad hari ini, sementara 57 menjalani pemeriksaan dan 42 daripadanya menunggu keputusan makmal.