Serbuan di Selayang bawa lebih banyak masalah, kata Tenaganita
Terdahulu hari ini dilaporkan Jabatan Imigresen menjalankan serbuan bagi memeriksa komuniti orang asing di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.
PETALING JAYA: Kumpulan sivil Tenaganita hari ini mempersoalkan serbuan ke atas migran di beberapa tempat di Selayang dengan berkata, penahanan mereka kerana “kesalahan pentadbiran” akan membawa lebih banyak keburukan.
Pengarah eksekutif Tenaganita Glorence A Das berkata, pusat tahanan merupakan kuarters terkurung dan pusingan orang masuk dan keluar pusat berkenaan menjadikannya “lokasi paling sesuai untuk penyebaran virus kepada dan daripada komuniti”.
“Lebih memburukkan keadaan, pusat tahanan kita memang diketahui berdepan masalah untuk menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang mencukupi kepada tahanan. Sistem penjagaan kesihatan mereka tidak dilengkapkan untuk berdepan atau mengawal pandemik koronavirus,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu hari ini dilaporkan Jabatan Imigresen menjalankan serbuan bagi memeriksa komuniti orang asing di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.
Dipercayai pendatang tanpa izin dibawa ke depot tahanan sementara.
Glorence menyifatkan serbuan itu menyedihkan sekali gus mempersoalkan kenapa pihak berkuasa terus menghukum dan menyalahkan komuniti yang paling melarat dalam masyarakat.
Beliau juga bertanya bagaimanakah peraturan jarak sosial boleh dilaksanakan di lokasi terbabit dan pihak mana yang akan melaksanakan dan memantau amalan itu.
Glorence berkata, langkah penjagaan kesihatan awam dan peraturan jarak sosial bagi membendung Covid-19 “tidak selari sama-sekali” dengan realiti penahanan atau penjara seperti terbukti di Itali dan negara lain yang menyaksikan kematian tahanan.
“Insiden sedih ini harus diberi perhatian oleh kerajaan dan orang ramai, terutama berkait pelaksanaan peraturan anti-jangkitan di penjara yang sesak.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Ledakan jangkitan lebih besar akan membawa bencana,” katanya.