Singapura catat 486 kes baru Covid-19

Pekerja asing mendominasi kes Covid-19 dengan 20,961 kes daripada keseluruhan 23,336 kes di Singapura. (Gambar AP)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengesahkan 486 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 23,822.

Data awal setakat tengah hari tadi menunjukkan hanya 2 kes melibatkan penduduk tetap manakala selebihnya adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

Kementerian itu berkata jumlah kes yang rendah hari ini antaranya disebabkan sedikit ujian diproses di makmal kerana ia bagi menentukur semula 1 daripada kit ujian yang digunakan.

Perincian kes masih diteliti dan kemas kini kes berkenaan akan dimaklumkan kemudian, kata kementerian itu dalam kenyataan.

Singapura pada Ahad melaporkan 33 kes yang sebelum ini diuji positif didapati tidak benar susulan timbul isu berkaitan penentukuran radas bagi salah 1 kit ujian penyakit itu.

Kementerian itu berkata pihaknya mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan, dan menambah makmal itu menghentikan semua ujian dan sedang berusaha menyelesaikan isu penentukuran itu.

Selain itu, terdapat 2 hasil ujian yang kurang jelas sebelum ini dan ia kemudiannya disahkan negatif selepas melalui ujian semula.

Setakat ini, Singapura mengklasifikasikan 1,329 kes sebagai kes komuniti, 580 kes import dan 466 kes melibatkan pekerja asing di luar asrama.

Sementara itu, pekerja asing di asrama mendominasi kes yang dilaporkan pada Ahad dengan 20,961 kes atau 90% daripada keseluruhan 23,336 kes.

Republik itu juga mengenal pasti 5 kluster baru pada Ahad dan sebanyak 90 kluster dilaporkan setakat ini.