Tahan pendatang tanpa izin beri kesan negatif, ILO beritahu kerajaan

Kerajaan dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa kerana menahan pekerja asing tanpa izin di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memberi amaran bahawa tangkapan dan penahanan pendatang tanpa izin akan membawa kesan negatif kepada usaha memerangi Covid-19.

Dalam pengesyoran dasarnya dalam laporan mengenai kesan Covid-19 ke atas pekerja asing tanpa izin di Malaysia, ILO berkata, kebimbangan berhubung penahanan kerana pelanggaran undang-undang imigresen mendorong pekerja asing tanpa izin terus bersembunyi dan menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan.

ILO berkata perkara ini akan memberi kesan ke atas kesihatan pekerja asing dan meningkatkan risiko jangkitan kepada orang lain.

Baru-baru ini pihak berkuasa dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa kerana menangkap dan menahan pekerja asing tanpa izin di Kuala Lumpur.

ILO berkata penularan virus berserta perintah kawalan pergerakan (PKP) menjejaskan pekerja asing, terutama mereka yang mendapat gaji harian dan kini tidak boleh bekerja.

“Ramai daripada pekerja asing ini ini kehabisan wang dan perlu bergantung pada bantuan makanan yang diedarkan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

ILO turut mencatatkan pencabulan hak buruh pekerja asing yang dilaporkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), termasuk pemberhentian tidak adil, gaji tidak dibayar, keadaan hidup yang teruk, buruh paksa dalam perkhidmatan bukan teras dan ketidakpastian mengenai status pekerjaan mereka.

“Kebimbangan juga meningkat mengenai penyebaran virus di pusat tahanan imigresen yang sesak dan di petempatan pekerja asing.”

Pengesyoran dasar ILO yang lain termasuk pengesahan bahawa semua pekerja asing, termasuk pendatang tanpa izin, pelarian dan pencari suaka akan diberi ujian dan rawatan Covid-19 percuma.

Ia turut mengesyorkan langkah untuk mencegah penularan virus di pusat tahanan imigresen dan petempatan pekerja asing, dan pekerja yang tidak dapat bekerja ketika tempoh PKP menerima bayaran dan faedah.

“Semua pekerja asing, termasuk pekerja asing tanpa izin, harus mempunyai akses kepada remedi undang-undang dan pampasan untuk layanan tidak adil, dan perkhidmatan jurubahasa jika perlu.

“Pastikan majikan pekerja asing dalam perkhidmatan perlu, seperti pembuatan sarung tangan getah, mengenal pasti dan mengurangkan semua risiko pendedahan Covid-19 dan menghormati hak pekerja asing,” katanya.

Ia juga menggesa majikan supaya menyediakan garis panduan mengenai keselamatan pekerjaan selain langkah kesihatan dan amalan kebersihan dalam bahasa yang boleh difahami pekerja.