Undang-undang anti-lompat ambil masa, kata peguam

Peguam berkata, mandat sepatutnya dikembalikan kepada pengundi dan pilihan raya kecil diadakan sekiranya wakil rakyat melompat parti.

PETALING JAYA: Peguam bersetuju bahawa perbuatan ahli Parlimen atau Adun melompat parti selepas memenangi pilihan raya atas simbol serta manifesto parti lain adalah tidak demokratik, tetapi berkata, undang-undang anti-lompat hanya berkemungkinan diwujudkan selepas pilihan raya umum ke-15.

Bastian Pius Vendargon berkata, pada masa ini pengundi dan parti politik tidak mempunyai penyelesaian undang-undang susulan keputusan mahkamah pada 1992 yang membenarkan lompat parti.

Kes terbabit melibatkan 2 Adun yang memenangi kerusi masing-masing atasa tiket Semangat 46 dalam pilihan raya umum 1990.

Nordin Salleh (Sungai Pinang) dan Wan Mohamed Najib Wan Mohamaed (Limbongan) menyertai Umno pada tahun berikutnya.

Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan meminda perlembagaan negeri dan meluluskan undang-undang anti-lompat yang berkuat kuasa secara retrospektif dari 18 Nov 1990 dan speaker mengisytiharkan 2 kerusi itu kosong.

Nordin dan Wan Mohamed bertanding sekali lagi dalam pilihan raya kecil yang diadakan, tetapi tewas. Mereka kemudiannya membawa kes itu ke mahkamah.

Mahkamah Agung memutuskan bahawa pindaan perlembagaan negeri bertujuan menguatkuasakan disiplin parti, bukannya mengenakan sekatan ke atas Adun.

Ia juga berkata, pindaan itu berlawanan dengan Perkara 10 perlembagaan persekutuan berhubung kebebasan berpersatuan, sekali gus mengekalkan kedudukan mereka sebagai Adun.

Bagaimanapun kata Bastian, hak berpersatuan dan sebaliknya hak untuk tidak berpersatuan tidak boleh diguna pakai ke atas calon yang bertanding dalam pilihan raya di bawah parti tertentu.

Katanya, beliau tidak menjangka kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan meluluskan undang-undang anti-lompat kerana gabungan politik itu sendiri mendapat kuasa melalui perbuatan lompat parti.

“Jalan terbaik ialah dengan orang ramai mendesak parti dan individu bertanding supaya meminda perlembagaan atau meluluskan undang-undang di peringkat persekutuan bagi menghentikan perbuatan itu,” katanya.

Beliau memberi respons terhadap gesaan penganalisis politik Chandra Muzaffar baru-baru ini supaya undang-undang digubal bagi menghentikan insiden wakil rakyat melompat parti.

Kenyataan Chandra dibuat berikutan memuncaknya konflik dalaman PPBM, persengketaan antara PPBM dengan Umno di peringkat negeri dan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

Peguam S Preakas berkata, pelompat parti biasanya berbuat demikian atas kepentingan diri sendiri, bukannya kepentingan pengundi.

“Mandat itu patut dikembalikan dan pilihan raya diadakan bagi membolehkan pengundi memilih calon yang mereka sokong,” katanya.

Dalam pada itu, peguam A Surendra Ananth berkata, pindaan perlembagaan adalah lebih baik daripada menggubal undang-undang yang membatalkan kemenangan ahli Parlimen atau Adun yang melompat parti.

Beliau berkata, ini kerana undang-undang persekutuan boleh dicabar kerana bercanggah dengan perlembagaan dan pihak terbabit boleh merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung pada 1992 itu.

Bagaimanapun beliau berkata, keputusan mahkamah itu tidak tepat kerana ia bergantung pada satu keputusan minoriti yang dibuat oleh Mahkamah Agung India.