110 sembuh dari Covid-19, 16 kes baru

PUTRAJAYA: Tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban kekal 109 orang.

Dalam perkembangan sama, 16 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 6,742 orang sehingga kini.

“Ini merupakan kes harian terendah yang pernah dicatatkan sejak kebelakangan ini,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Daripada jumlah kes terbaru itu, 9 adalah dalam kalangan bukan warga negara Malaysia.

“Daripada 16 kes baru yang dilaporkan hari ini, terdapat 3 kes import dan 13 kes penularan tempatan,” katanya.

Ketika ini, seramai 1,410 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 16 di unit rawatan rapi dengan 3 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, 110 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 5,223 orang sehingga kini.

Jumlah keseluruhan pesakit yang pulih bersamaan 77.5% daripada jumlah keseluruhan kes, manakala jumlah keseluruhan kes kematian bersamaan 1.62%.