19 maut akibat kapal pemusnah Iran tertembak kapal lain

Gambar satelit yang dikeluarkan Maxar Technologies menunjukkan kemusnahan kapal sokongan Konarak (tengah) selepas dibedil secara tidak sengaja oleh sebuah kapal pemusnah tentera laut Iran dalam sesi latihan pada Ahad lalu. (Gambar AP)

TEHRAN: Sekurang-kurangnya 19 maut apabila sebuah kapal pemusnah tentera laut Iran secara tidak sengaja tertembak kapal lain ketika menjalani latihan di Teluk Parsi pada Ahad lalu lapor agensi berita Anadolu.

Seramai 15 lagi cedera, lapor agensi berita IRNA memetik Jabatan Perhubungan Awam Komando Angkatan Tentera Laut Iran.

Laporan awal mendakwa peluru berpandu C-802 Noor dari kapal Jamaran secara tidak sengaja membedil kapal sokongan Konarak.

Ketika kejadian, terdapat 30 hingga 40 kru berada dalam kapal Konarak dan antara yang terbunuh ialah komander kapal itu.

Sumber Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyifatkan kejadian itu berpunca daripada “kesilapan manusia”.