Akademi perubatan kecewa majlis hari raya dibenarkan

Akademi Perubatan Malaysia mengingatkan pandemik Covid-19 hanya perlukan seorang peserta majlis untuk menjangkiti anggota keluarga yang lain.

PETALING JAYA: Akademi Perubatan Malaysia kecewa kerajaan memberi kebenaran untuk mengadakan majlis Aidilfitri, mengatakan himpunan sehingga 20 orang akan merencatkan usaha dan hasil kerja kuat semua rakyat selama wabak Covid-19 melanda negara.

Dalam kenyataan yang ditandatangani master dan 11 presiden kolej bawah akademi itu, ia menyambut baik perintah kawalan pergerakan bersyarat dilanjutkan sehingga 9 Jun, tetapi mengingatkan pandemik Covid-19 hanya perlukan seorang peserta majlis untuk menjangkiti anggota keluarga yang lain.

“Kami ingin menyarankan agar sambutan berhari raya hanya dibenarkan kepada ahli keluarga seisi rumah sahaja,” katanya.

“Kita perlu beringat, betapa sukarnya membendung wabak ini dan kesulitan yang akan dialami serta sumber yang banyak diperlukan dalam proses menjejaki kontak nanti.”

Akademi itu mengingatkan kelonggaran PKPB secara keterlaluan dan tiada perincian teliti akan memberi kesan songsang kepada usaha kuat barisan depan dan pengorbanan rakyat selama ini.

“Wabak Covid-19 masih lagi kekal merbahaya sebagai ancaman nyata,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, semasa mengumumkan lanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat pada Ahad, berkata majlis hari raya tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa dibenarkan, di sebalik larangan umum ke atas himpunan dan kegiatan yang membabitkan sentuhan fizikal.