BN sokong Muhyiddin jika timbul usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN belum membuat ketetapan berhubung pendaftaran Perikatan Nasional.

PETALING JAYA: Kesemua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan mengundi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri sekiranya terdapat usul undi tidak percaya di Parlimen, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu berkata, ketetapan berkenaan termasuklah untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada presiden PPBM sebagai perdana menteri ke-8.

“Dewan tertinggi BN sudah mengadakan mesyuaratnya pada petang ini. Kini BN terdiri daripada gabungan 4 parti politik, iaitu Umno, MCA, MIC dan PBRS.

“BN adalah kelompok terbesar dengan 43 kerusi Parlimen memberi sokongan kepada ahli Parlimen Pagoh dilantik sebagai perdana menteri ke-8, yang seterusnya membentuk Kabinet kerajaan Malaysia yang baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Zahid juga berkata, BN perlu melalui proses tertentu dalam parti komponen masing-masing berhubung isu pendaftaran Perikatan Nasional (PN) secara formal.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin apabila Dewan Rakyat bersidang pada 18 Mei.

Bagaimanapun usul itu dipercayai tidak akan dibahaskan dan diundi kerana urusan kerajaan mendahului semua usul atau rang undang-undang persendirian lain semasa persidangan 1 hari itu.