Degil… Penduduk Indonesia curi-curi pulang kampung punca jangkitan Covid-19 meningkat

Warga Indonesia beratur panjang semata-mata mahu mendapatkan bekalan makanan di Jakarta tanpa amalkan penjarakan sosial. (Gambar AP)

Perutusan sempena Hari Pekerja 1 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan orang ramai tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya.

Meskipun pengumuman yang dibuat mungkin mengecewakan kebanyakan pihak, namun usaha baik ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan penyebaran wabak Covid-19.

Inisiatif yang dibuat ini nampaknya turut diikuti pemerintah Indonesia dalam menghalang rakyatnya pulang ke kampung halaman.

Namun siapa sangka ada segelintir warga Indonesia yang sudah pulang ke kampung sebelum kerajaannya mengeluarkan larangan itu.

Sehingga kini direkodkan sebanyak 7% warga kota yang sudah pulang ke kampung sebelum pengumuman itu dibuat dan ia dilihat membawa maut kepada warga kampung khususnya mereka yang berwarga emas.

Berdasarkan laporan, terdapat kes dimana seorang lelaki yang pulang dari Jakarta tanpa disedari membuatkan datuknya yang berusia 72 tahun dijangkiti wabak Covid-19 seterusnya meninggal dunia.

Kes yang hampir sama turut direkodkan di Jawa Tengah apabila terdapat individu yang tidak mempunyai sebarang rekod keluar daerah turut dijangkati wabak Covid-19 selepas ahli keluarganya pulang dari beberapa daerah termasuk Jakarta.

Sehubungan itu pihak berkuasa Indonesia mengenakan denda RM29,048 dan penjara sehingga setahun sebagai langkah untuk menghalang lebih ramai individu keluar dari Jakarta untuk pulang ke kampung halaman.

Lebih memeranjatkan warga Indonesia sanggup bersembunyi di sebalik bekas barangan dalam lori serta ruangan bagasi bas semata-mata mahu pulang ke kampung namun berjaya dikesan pihak berkuasa.

Berdasarkan rekod semasa, Indonesia merekodkan lebih 14,000 kes Covid-19 dengan jumlah kematian mencecah 1,000 orang.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]