Ganggu gelang QR satu kesalahan apabila Sarawak warta penggunaan

Sarawak akan mewartakan penggunaan gelang tangan QR bagi memantau pergerakan individu yang memasuki negeri itu.

KUCHING: Keputusan kerajaan Sarawak mewajibkan individu yang memasuki negeri itu memakai gelang tangan QR akan diwartakan sebagai undang-undang, kata seorang menteri negeri hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Dr Sim Kui Hian, yang juga bertanggungjawab ke atas hal ehwal kesihatan berkata, ini bagi memastikan individu yang memasuki Sarawak patuh perintah kuarantin 14 hari bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

“Dengan perintah itu diwartakan, mereka yang didapati mengganggu atau mengusik gelang tangan itu akan dianggap telah melabnggar undang-undang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Gelang tangan QR, yang dimajukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, akan membolehkan pihak berkuasa memantau pergerakan pemakainya dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dan terus melakukan “pemeriksaan berkala” ke atas mereka berdasarkan maklumat yang dihantar dari peranti tersebut.

Dalam pada itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu penting bagi menyekat penularan wabak tersebut, terutama dengan kepulangan ramai pelajar Sarawak dari luar negara, semenanjung, Sabah dan Labuan.

“Di Sabah, dilaporkan bahawa daripada 10 jangkitan terbaru Covid-19 adalah pelajar yang baru pulang dan individu yang melanggar peraturan kuarantin kendiri.

“Kita telah lihat Singapura, Jerman dan Korea Selatan mengalami gelombang ke-2 jangkitan Covid-19. Kita tidak mahu ia berlaku di Sarawak.

“Oleh sebab itu kerajaan negeri mengeluarkan gelang tangan QR ini kepada semua pelajar yang pulang dan individu untuk tujuan pemantauan sepanjang tempoh kuarantin 14 hari yang diarahkan,” katanya.

Terdahulu Uggah berkata, tiada kes baru Covid-19 dilaporkan di negeri itu hari ini, iaitu kali ke-3 Sarawak tidak mencatatkan sebarang kes positif virus itu.

Angka kematian akibat Covid-19 di Sarawak kekal 17 orang.

Beliau berkata, Limbang kini dikategorikan zon hijau Covid-19 setelah daerah itu tidak melaporkan kes jangkitan baru sejak 14 hari lepas.

Sehingga hari ini, 33 daerah di Sarawak dikategorikan sebagai zon hijau, 6 zon kuning dan 1 zon merah, iaitu Kuching.